Am 02/10/2026 06:53 PM

Aichi-Nagoya 2026: Azizulhasni Buktikan Usia Bukan Penghalang Raih Emas Keirin

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Aichi-Nagoya 2026: Azizulhasni Buktikan Usia Bukan Penghalang Raih Emas Keirin
Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang meraih pingat emas kelapan Malaysia selepas memenangi final acara Keirin lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Izu Velodrome hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Daripada Muhammad Afiff Md Adnan

SHIZUOKA, 2 Okt (Bernama) -- Usia 38 tahun dan hanya tiga minggu menjalani latihan bersama pasukan tidak menghalang Datuk Mohd Azizulhasni Awang menampilkan kayuhan luar biasa untuk meraih emas acara keirin lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Velodrom Izu, hari ini.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata kejayaan berkenaan lebih bermakna apabila beliau terpaksa berdepan pelumba yang jauh lebih muda, termasuk wakil China, Li Zhiwei, 22, dalam perlumbaan akhir yang berlangsung pada kelajuan tinggi.

Beliau berkata kemenangan itu membuktikan segala pengorbanan dan cabaran yang dilaluinya sebelum temasya berkenaan berbaloi, terutama selepas hanya menyertai kem latihan pasukan di Brisbane, Australia seminggu lewat.

“Saya cuma berlatih dengan pasukan tiga minggu tetapi alhamdulillah, walaupun macam-macam dugaan, semua itu dipermudah.

“Dalam sprint, catatan masa saya pun tidak teruk. Saya merapatkan jurang cuma tidak mampu menyaingi kekuatan pelumba China di separuh akhir,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.

Kegagalan melangkah ke final acara pecut semalam bagaimanapun menjadi pembakar semangat buat Azizulhasni untuk bangkit dalam keirin apabila beliau berjanji akan memberikan segala-galanya bagi memburu emas.

“Saya cakap saya akan cuba ke final dahulu dan kalau saya di final, saya akan memburu pingat emas. Alhamdulillah, hari ini saya dapat kabulkan janji saya itu,” katanya.

Mengulas perlumbaan akhir, The Pocket Rocketman berkata saingan berlangsung pada tahap kelajuan tinggi sehingga disifatkannya hampir menyamai final Kejohanan Dunia.

Beliau memilih untuk tidak terburu-buru mengejar kelompok hadapan sebaliknya mengatur kayuhan secara berperingkat sebelum meningkatkan kelajuan pada pusingan terakhir bagi memastikan tiada pelumba yang memintasnya di penghujung perlumbaan.

“Saya bagi jarak, saya kejar perlahan-lahan. Dekat sampai ke pusingan terakhir itu barulah saya datang betul-betul untuk pastikan tiada orang cuba potong saya pada minit akhir.

“Memang waktu tepat sampai ke garisan penamat saya potong. Memang cantik tetapi memang betul-betul penatlah lepas itu,” katanya.

Menurut Azizulhasni, kejayaannya turut mendapat pengiktirafan daripada lawan yang jauh lebih muda, termasuk Kaiya Ota dari Jepun yang 11 tahun lebih muda daripadanya dan Zhiwei yang 16 tahun lebih muda.

“Mereka pun cakap, ‘38 tahun, macam mana boleh masih lagi berada di peringkat tertinggi ini (Sukan Asia)?’” katanya.

Kejayaan itu menyaksikan Azizulhasni menutup penampilan di Sukan Asia dengan koleksi tiga emas, satu perak dan dua gangsa, sekali gus melengkapkan kempen terakhirnya di pentas temasya benua itu dengan pencapaian yang cukup membanggakan.

-- BERNAMA