SEPANG, 2 Okt (Bernama) -- Kepulangan Formula 1 (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas sembilan tahun memberi peluang kepada peminat menikmati pengalaman yang menggabungkan budaya menerusi F1 Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026.
Warga Tunisia Emna Ben Salem, 20, yang datang dari benua Afrika ke Malaysia untuk menyaksikan F1 buat kali pertama berkata gabungan perlumbaan di Bahrain dan suasana di Malaysia adalah satu pengalaman istimewa.
“Datang ke sini, melihat budaya Bahrain dan Melayu, selain menyaksikan semua rakyat Malaysia bersama-sama orang Arab, memang luar biasa.
“Ia istimewa, peluang sekali seumur hidup. Saya sangat gembira Sepang kembali selepas 2017. Ia seperti gabungan dua budaya yang amat mengujakan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Emna memilih Malaysia untuk GP pertamanya berbanding perlumbaan lain dan menyifatkan pengalaman itu sangat berbaloi selain dapat memberikan sokongan kepada pemandu Williams Carlos Sainz Jr.
Bagi Ankush Sharma, 32, dari India, keputusan menghadiri perlumbaan itu didorong peluang untuk merasai sendiri pengalaman di SIC yang ikonik selepas F1 kembali ke Malaysia.
“Ini perlumbaan pertama saya. Pada mulanya, saya merancang ke Baku (Azerbaijan) tetapi apabila mengetahui F1 kembali ke Sepang, saya mahu menyaksikan sendiri litar ini. Sebab itu saya berada di sini,” kata Ankush yang membelanjakan kira-kira USD2,000 untuk tiket dan perjalanan bagi menyaksikan perlumbaan berkenaan.
Ankush yang kali kedua berkunjung ke Malaysia, berharap SIC akan terus kekal dalam kalendar F1, sambil menyifatkan Sepang antara litar paling menarik selain memuji kemudahan yang disediakan.
“F1 Malaysia antara litar tercantik. Malah, para pemandu sendiri mengakui mereka gemar berlumba di litar ini ketika bermain e-sukan F1. Pada pandangan saya, Sepang antara litar terbaik dan perlu ada lebih banyak perlumbaan di sini,” katanya.
Bagi pasangan dari Kuala Lumpur Abdul Azim Azlan, 27, dan isterinya Nur El Syifa Mohd Shafik, 27, kepulangan F1 ke bumi Malaysia merealisasikan impian yang telah sekian lama mereka nantikan.
Abdul Azim yang mengikuti F1 sejak zaman persekolahan dan tidak pernah menyaksikan perlumbaan secara langsung sebelum ini membuat keputusan untuk hadir selepas mengetahui GP Bahrain akan diadakan di Sepang, berbanding di Singapura seperti yang dirancang.
Mereka menempah penginapan berhampiran Nilai bagi memudahkan perjalanan ke litar manakala Abdul Azim teruja untuk menyaksikan laluan lurus yang panjang, selekoh berkelajuan tinggi dan peluang memotong di Sepang.
Selain aksi perlumbaan, Abdul Azim berkata aktiviti kebudayaan bertemakan Bahrain di Bahrain Village menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung menerusi kraf tradisional, persembahan kebudayaan dan sajian tempatan.
“Sejujurnya, saya rasa seperti berada di Bahrain kerana dapat merasai makanan, pakaian dan pelbagai aktiviti kebudayaan mereka,” katanya.
Pada Julai lepas, F1 mengesahkan Malaysia menjadi tuan rumah GP Gulf Air Bahrain dari 2 hingga 4 Okt susulan perjanjian yang ditandatangani antara F1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta Kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Perjanjian itu membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan berkenaan dibatalkan pada awal musim ini berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Malaysia menjadi tuan rumah GP Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1.
-- BERNAMA