Am 02/10/2026 05:04 PM

GP Gulf Air Bahrain: Sembilan Tahun Berlalu, Verstappen Masih Berbisa Di Sepang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
GP Gulf Air Bahrain: Sembilan Tahun Berlalu, Verstappen Masih Berbisa Di Sepang
Pemandu Oracle Red Bull Racing Max Verstappen menguji keretanya pada sesi latihan bebas sempena Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang hari ini

SEPANG, 2 Okt (Bernama) -- Sembilan tahun selepas menakluk Litar Antarabangsa Sepang, juara dunia Formula Satu (F1) empat kali Max Verstappen kembali mencuri tumpuan di litar ikonik negara dengan mencatat masa terpantas pada sesi latihan bebas pertama hari ini.

Pelumba Red Bull Racing yang merupakan juara terakhir Grand Prix (GP) Malaysia pada 2017 itu kembali mencuri tumpuan di Sepang apabila mencatat masa terpantas pada sesi latihan bebas pertama Grand Prix Formula 1 Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026, hari ini.

Pada sesi yang berlangsung dalam cuaca panas dan cerah, Verstappen menguasai catatan masa selepas merekodkan 1 minit 37.520 saat (s).

Pelumba Belanda itu mengatasi George Russell daripada Mercedes-AMG PETRONAS F1 Team dengan kelebihan 0.383s selepas pelumba Britain itu mencatat 1:37.903s untuk tempat kedua.

Rakan sepasukan Verstappen, Isack Hadjar pula berada di kedudukan ketiga dengan catatan 1:38.303s.

Pelumba Ferrari Charles Leclerc merekodkan masa keempat terpantas, 1:38.367s, diikuti pendahulu kejuaraan pelumba ketika ini Kimi Antonelli daripada Mercedes-AMG PETRONAS F1 Team di tempat kelima dengan 1:38.580s.

Juara dunia tujuh kali Lewis Hamilton yang mewakili Ferrari pula mencatat masa keenam terpantas, 1:38.590s.

Sementara itu, juara dunia bertahan Lando Norris daripada McLaren berdepan permulaan kurang memberangsangkan apabila menduduki tempat ke-12 dengan catatan 1:39.293s.

Sesi latihan bebas kedua dijadualkan pada 4 petang ini.

Pada Julai lepas, Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah GP Gulf Air Bahrain dari 2 hingga 4 Okt susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.

Persetujuan itu membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan berkenaan dibatalkan pada awal musim susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah GP Malaysia di SIC dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan berkenaan digugurkan daripada kalendar F1.

-- BERNAMA