Am 02/10/2026 10:17 AM

Bukit Malut: Antara Realiti Dan Persepsi Yang Perlu Diurus

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bukit Malut: Antara Realiti Dan Persepsi Yang Perlu Diurus
Gambar hiasan.

Menghadap laluan strategik Selat Melaka, pesisir Bukit Malut di sini padat dengan rumah berdindingkan papan dan juga zink yang dibina tinggi di atas air, menzahirkan pemandangan sebuah perkampungan air yang biasa ditemukan di Sabah khususnya.  

Sejak penubuhan hingga sekarang, iaitu sudah lebih empat dekad, petempatan ini dikaitkan sebagai “kawasan Rohingya” dan pendatang tanpa izin. Malah, jika dijengah laman media sosial, tidak ada khabar indah dikongsikan oleh netizen tentang Bukit Malut yang terletak kira-kira 20 kilometer dari pekan Kuah ini. 

Dan, di sebalik penjelasan serta sanggahan pihak berkuasa serta mereka yang berkepentingan, sebahagian besar daripada rakyat negara ini, termasuk penduduk setempat, terus memandang serong terhadap komuniti Bukit Malut.

“Sudah lali,” kata penduduk Bukit Malut yang ditemui Bernama.

Berpeluang menjejakkan kaki di perkampungan ini pada Ogos lalu, perkataan pertama yang menerjah fikiran penulis sebaik tiba ialah cacamarba. Tidak dapat disangkal, keadaan binaan serta kedudukan rumah yang rapat dan persekitaran, membawa ingatan penulis kepada kawasan setinggan, yang satu ketika dulu pernah menjadi masalah sosial di ibu negara.

 

DARI BURMA (MYANMAR) KE LANGKAWI

Kawasan Rohingya? Jauh panggang dari api. Data pihak berkuasa merekodkan lebih  92.2 peratus daripada kira-kira 5,500 penduduk di petempatan ini adalah rakyat Malaysia yang memiliki kad pengenalan yang sah. Selebihnya pula berdepan dengan masalah dokumentasi, termasuk hal-hal berkaitan status perkahwinan apabila penduduk yang berkahwin dengan warga asing turut menetap di situ.

Menelusuri latar belakang komuniti Bukit Malut, pakar menjelaskan kepada Bernama yang mereka sebenarnya berketurunan Melayu Islam dari Kedah, dan sejarah mereka bermula pada zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu antara 1942 hingga 1945.

Maju Johor
Berdasarkan data pihak berkuasa, Bukit Malut kini mempunyai kira-kira 1,400 unit rumah dengan sekitar 800 rumah di daratan dan kira-kira 500 lagi dibina di atas air.

“Mereka ini asalnya memang orang Tanah Melayu dan kawasan ini bukan tempat pendaratan etnik Rohingya (pelarian dari Myanmar), walaupun ada orang menganggap begitu, tetapi itu tidak betul,” tegas Prof Madya Dr Mohd Na’eim Ajis yang aktif membuat kajian berkenaan migrasi termasuk pelarian, khususnya di utara tanah air.

Menurut pakar yang juga pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia itu lagi, komuniti Bukit Malut adalah keturunan rakyat Kedah yang dihantar ke Burma sebagai buruh paksa oleh Jepun, bagi membina rel kereta api yang dikenali sebagai landasan kereta api maut.  

Selepas perang tamat, sebahagian daripada buruh paksa yang berasal dari Kedah ini tidak kembali ke tanah air, sebaliknya menetap di Ranong, iaitu kawasan selatan berhampiran sempadan Thailand dan Myanmar.

Mereka kemudian berkahwin dengan penduduk setempat, namun di sebalik asimilasi dengan budaya tempatan, komuniti yang lahir masih mengekalkan identiti Melayu beragama Islam dan menggunakan dialek Melayu Kedah dalam pertuturan. Komuniti ini kemudian dikenali sebagai Melayu Islam Kedah (MIK).

 Pada era 1980-an, atas faktor kemanusiaan, Kerajaan Negeri Kedah dan Kerajaan Persekutuan  mengambil inisiatif membawa mereka pulang, bermula dengan ketibaan kira-kira 120 orang di Langkawi pada 1980.

Mereka dihimpunkan di Dewan Orang Ramai, Padang Lalang, Ayer Hangat untuk tujuan dokumentasi sebelum dihantar ke petempatan sementara di Terengganu selama kira-kira tiga bulan. Mereka kemudian dibawa ke Pahang dan Johor untuk bekerja di ladang kelapa sawit.

Bagaimanapun, lapan tahun kemudian, lima keluarga membabitkan kira-kira 15 orang daripada kumpulan itu kembali ke Langkawi dan meneroka petempatan baharu di atas tanah rizab kerajaan di Bukit Malut.

 

LEBIH EMPAT DEKAD MEMBENTUK KOMUNITI

Bermula dari situ, petempatan berkenaan berkembang menjadi sebuah komuniti yang jauh lebih besar dengan dianggarkan sekitar 5,500 penduduk setakat Mei tahun ini.

Berdasarkan data pihak berkuasa, Bukit Malut kini mempunyai kira-kira 1,400 unit rumah dengan sekitar 800 rumah di daratan dan kira-kira 500 lagi dibina di atas air.

Maju Johor
Kerumitan status tanah serta bentuk petempatan menjadi antara cabaran utama dalam usaha menyusun semula kawasan berkenaan.

Kawasan petempatan berkenaan secara keseluruhannya merangkumi enam buah kampung, iaitu Kampung Bukit Malut, Kampung Tanjung Lembung, Kampung Dato’ Hassan, Kampung Sungai Tepa, Kampung Baru Sungai Tepa dan Kampung Paya Mengkuang.

Perkampungan itu pula berada di atas beberapa kategori pemilikan tanah, antaranya tanah milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Permodalan Kedah Berhad (PKB), Northern Shipyard Sdn Bhd serta tanah bergeran milik persendirian.

Dalam tempoh lebih empat dekad ini kerajaan mengiktiraf status lebih 5,000 orang penduduk Bukit Malut sebagai rakyat Malaysia yang sah dan menikmati semua faedah warganegara termasuk kelayakan mengundi dalam pilihan raya.

Berdasarkan Daftar Pemilih ST2/2026 bertarikh 21 Mei 2026, seramai 3,075 penduduk adalah pengundi berdaftar bagi kawasan Pusat Daerah Mengundi Bukit Malut.

Kerajaan juga mula memberi tumpuan kepada kawasan ini susulan pelbagai kontroversi serta tekanan masyarakat. Pada April 2021 bermula rundingan awal untuk memindahkan mereka ke kawasan lain bagi membolehkan usaha membina semula petempatan itu secara terancang.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) mula turun padang untuk berbincang dengan agensi berkaitan. Pada 10 Ogos lalu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan secara rasmi komitmen kerajaan negeri untuk membina perumahan terancang bagi penduduk Bukit Malut.

Mengulas aspek itu, Mohd Na’eim bagaimanapun berkata kerumitan status tanah serta bentuk petempatan menjadi antara cabaran utama dalam usaha menyusun semula kawasan berkenaan.

Katanya usaha memindahkan penduduk pernah dilakukan sebelum ini, namun tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya, menyebabkan persoalan tentang masa depan Bukit Malut terus berlarutan.

“Pertambahan penduduk dan perkembangan fizikal petempatan menjadikan penyelesaian semakin mencabar,” katanya.

 

ISU MEMBELENGGU: KEBERSIHAN, ALAM SEKITAR, UTILITI, JENAYAH 

Isu yang paling ketara antaranya ialah pengurusan sampah dan kebersihan apabila kawasan petempatan itu sering dikaitkan dengan lambakan sampah yang tidak diurus dengan baik, sekali gus berisiko mengundang masalah kesihatan dan pencemaran selain mencacatkan pemandangan Langkawi sebagai sebuah destinasi pelancongan antarabangsa.

Justeru, katanya, sebarang usaha menyelesaikan masalah Bukit Malut perlu mengambil kira bukan sahaja kepentingan penduduk, tetapi juga kesan terhadap alam sekitar dan imej pelancongan pulau berkenaan.

Maju Johor
Sebarang usaha menyelesaikan masalah Bukit Malut perlu mengambil kira bukan sahaja kepentingan penduduk, tetapi juga kesan terhadap alam sekitar dan imej pelancongan pulau berkenaan.

Menurut Mohd Na’eim, cabaran lain ialah akses kepada utiliti serta kemudahan yang belum didaftarkan secara rasmi.

Penyambungan elektrik dan bekalan air secara tidak sah, jika berlaku, bukan sekadar isu penguatkuasaan, tetapi turut membabitkan soal keselamatan, ketirisan hasil serta keperluan memastikan penduduk menikmati kemudahan asas melalui saluran yang sah.

Begitu juga dengan madrasah, surau dan jeti yang masih belum berdaftar, yang memerlukan pendekatan penyelesaian secara berperingkat dengan mengambil kira keperluan komuniti.

Bukit Malut turut berdepan persepsi kononnya petempatan itu menjadi pusat kegiatan jenayah, khususnya penyeludupan dan pengedaran dadah.

Namun, data pihak polis bagi tempoh lima tahun antara 2022 hingga 2026 menunjukkan gambaran sebaliknya. Malah, berdasarkan statistik kajian Universiti Utara Malaysia, tidak ada sebarang kes jenayah berat direkodkan di Bukit Malut dalam tempoh lima tahun terakhir ini.

Pada November 2025, Ketua Polis Kedah Datuk Adzli  Abu Shah menafikan dakwaan penglibatan ahli komuniti Bukit Malut  dalam rantaian aktiviti jenayah besar.

Pun begitu, Mohd Na’eim tidak menafikan isu berkenaan tetap perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa bagi melindungi penduduk Bukit Malut daripada dijadikan kambing hitam oleh pihak tidak bertanggungjawab.

 

PENDUDUK BERDEPAN DILEMA PERSEPSI

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Bukit Malut Mohamad Fadzli Abdullah berkata penduduk umumnya sudah mangli dengan persepsi negatif terhadap mereka.

“Penduduk setempat sudah lali, bila isu membabitkan pendaratan pelarian dari Myanmar di Langkawi, Bukit Malut sering dijadikan sasaran masyarakat yang menganggap pelarian tersebut mendarat di Bukit Malut.

“Realitinya, bukan mudah untuk mereka mendarat di Bukit Malut kerana kawasan kami ini bersebelahan dengan jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Marin,” katanya.

Pun begitu, Mohamad Fadzli berkata tanggapan tersebut  sedikit sebanyak memberi kesan terhadap kehidupan seharian mereka termasuk dalam soal mendapatkan pekerjaan.

“Memang sebelum ini ada penduduk mengadu susah nak mendapat pekerjaan dan diskriminasi terhadap penduduk tetapi situasi itu semakin berkurangan sekarang apabila ramai penduduk yang bekerja di pelbagai sektor di Langkawi,” katanya.

Hasanah Zakaria, 42, yang menetap di situ sejak 20 tahun lalu turut mengakui kesan yang diterima, khususnya ke atas anaknya.

“Anak saya pernah mengadu kawan-kawan di sekolah dia cakap ‘orang Bukit Malut memang perangai macam itu’ terhadap anak saya,” katanya yang berharap masyarakat luar dapat mengubah persepsi mereka terhadap penduduk Bukit Malut.

 

KOMUNIKASI STRATEGIK KUNCI PERUBAHAN

Melihat isu Bukit Malut tidak boleh diselesaikan dengan sekadar membina petempatan terancang, Mohd Na’eim berkata cabaran terbesar sekarang ialah jurang antara tanggapan masyarakat luar dan realiti.

Katanya jurang itu perlu dirapatkan bersama-sama dengan usaha kerajaan membina semula petempatan tersebut. 

Yang diperlukan bukan sekadar penyelesaian fizikal, tetapi pembinaan semula hubungan antara komuniti, kerajaan dan masyarakat luar, tegasnya.

“Apabila kita nak menguruskan persepsi Bukit Malut ini, kita kena ambil tindakan awalan dahulu, tukar imej, uar-uarkan imej yang sebenarnya apa yang berlaku di Bukit Malut.

“Saya sebagai ahli akademik yang membuat penyelidikan mengenai migrasi ini, saya mengharapkan naratif dan sentimen negatif Bukit Malut dapat dihilangkan dan membawa yang positif,” katanya.

Beliau berkata masyarakat perlu diberikan maklumat tepat tentang sejarah dan status penduduk Bukit Malut, manakala penduduk pula perlu memainkan peranan dalam memastikan peraturan, undang-undang dan standard kebersihan dipatuhi.