Dunia 02/10/2026 11:41 AM

Pakatan Diketuai Arab Saudi Pintas Dua Peluru Berpandu Balistik, Empat Dron

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pakatan Diketuai Arab Saudi Pintas Dua Peluru Berpandu Balistik, Empat Dron
Maj. Gen. Turki al-Maliki. (Foto Kredit BNA)

ISTANBUL, 2 Okt (Bernama-Anadolu) -- Pakatan diketuai Arab Saudi yang menyokong kerajaan Yaman pada Khamis malam memaklumkan pihaknya memintas dan memusnahkan dua peluru berpandu balistik serta empat dron di selatan Arab Saudi.

Anadolu Ajansi melaporkan pakatan itu dalam satu kenyataan memaklumkan dua peluru berpandu balistik berkenaan dipintas dan dimusnahkan di ruang udara bandar Khamis Mushait dan Jazan.

Empat dron turut dipintas dan dimusnahkan di ruang udara Khamis Mushait, menurut kenyataan itu.

Pakatan itu memaklumkan pasukannya akan terus "mengambil dan melaksanakan langkah operasi untuk menghalang serangan Houthi."

Bagaimanapun, pakatan itu tidak memberikan butiran lanjut mengenai sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan yang berlaku.

Terdahulu pada Khamis, pakatan diketuai Arab Saudi memaklumkan serangan dron yang dikaitkan dengan Houthi menyasarkan stesen pengagihan tenaga elektrik di Madinah.

Jurucakap pakatan itu Mejar Jeneral Turki al-Maliki berkata serangan berkenaan berlaku pada awal pagi Selasa, 29 Sept dan menyebabkan satu transformer tidak dapat beroperasi namun tidak menjejaskan grid elektrik.

Pada 15 Sept, pakatan itu memaklumkan sistem pertahanan udara Arab Saudi memintas dan memusnahkan sebuah dron yang dikaitkan dengan Houthi di selatan Makkah sebelum dron itu memasuki ruang udara larangan bandar berkenaan.

Arab Saudi mengetuai pakatan yang menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa dalam menentang Houthi sejak Mac 2015. Kumpulan itu menguasai ibu negara Sanaa dan beberapa wilayah sejak September 2014.

-- BERNAMA-ANADOLU