WASHINGTON, 2 Okt (Bernama-Anadolu) -- Misi SpaceX Crew-13 NASA yang dilancarkan pada Khamis dari Florida, Amerika Syarikat (AS), selamat mencapai orbit sebelum memulakan perjalanan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dengan membawa empat angkasawan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menurut NASA, roket Falcon 9 yang membawa angkasawan NASA Jessica Watkins dan Luke Delaney, angkasawan Agensi Angkasa Kanada Joshua Kutryk serta angkasawan Roscosmos Sergey Teteryatnikov berlepas dari Stesen Angkatan Angkasa Cape Canaveral pada 11.10 pagi waktu tempatan (1810 GMT).
Roket itu melepasi tahap tekanan dinamik maksimum sebelum peringkat pertama dan kedua berpisah.
Selepas berpisah, peringkat pertama roket itu mengubah haluan untuk kembali sebelum mendarat di Zon Pendaratan 40 SpaceX di Cape Canaveral.
Kapal angkasa Dragon kemudiannya berpisah daripada peringkat kedua Falcon 9, mencapai orbit dan membuka kon muncungnya, menurut NASA.
Crew-13 dijangka berada di orbit selama hampir lapan jam sebelum bercantum dengan port yang menghadap angkasa pada modul Harmony stesen berkenaan.
NASA memaklumkan perjalanan dari pelancaran hingga cantuman yang mengambil masa kira-kira tujuh jam 50 minit itu akan menjadi yang terpantas dalam sejarah ISS.
Ketika pelancaran, ISS bergerak pada kelajuan kira-kira 28,200 kilometer sejam pada ketinggian kira-kira 423 kilometer di atas Bumi, di barat laut Havana, Cuba.
Pentadbir NASA Jared Isaacman dan pegawai lain dijangka mengadakan sidang media selepas pelancaran pada Khamis.
-- BERNAMA-ANADOLU