JOHOR BAHRU, 2 Okt (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor mengeluarkan 3,072 notis atas pelbagai kesalahan jalan raya terhadap 1,346 individu dalam Operasi Khas Pemandu Warga Asing (Ops PeWA) yang dilaksanakan di seluruh negeri ini sejak 1 Jun hingga hari ini.
Pengarah JPJ negeri Zulkarnain Yasin berkata warga asing terbabit meliputi 447 warga Pakistan, 251 rakyat Bangladesh, 223 warga Singapura, 180 Indonesia dan 150 Myanmar.
Beliau berkata notis atas pelbagai kesalalahan turut dikeluarkan kepada 21 warga Vietnam, 19 India, lima Nepal, dua Kemboja dan 48 lain-lain negara.
Katanya siasatan mendapati kira-kira 70 peratus kenderaan yang ditunggang atau dipandu warga asing terbabit adalah milik sendiri menerusi pembelian secara pindah tangan tanpa proses pertukaran hak milik yang sah di JPJ.
"Mereka membeli kenderaan secara handover, apabila mahu pulang ke negara asal, kenderaan tersebut dijual kepada rakan lain. Keadaan ini menyebabkan pemilik asal sukar dikesan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Zulkarnain berkata antara kenderaan yang disita termasuk 347 motosikal, 69 kereta dan 24 lain-lain kenderaan persendirian.
Beliau berkata secara keseluruhan sebanyak 10,580 kenderaan diperiksa dengan 4,565 pelbagai kesalahan dikesan, termasuk 788 kesalahan tidak mempunyai Lesen Memandu Kompeten (CDL) sekali gus merupakan jumlah kesalahan tertinggi.
Antara kesalahan lain 693 kesalahan tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM), 528 kesalahan tiada perlindungan insurans, 449 kesalahan pemilik kenderaan membenarkan kenderaan dipandu oleh individu yang tidak mempunyai CDL serta 207 kesalahan tidak memakai topi keledar.
Zulkarnain berkata pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara bersepadu bersama-sama agensi berkaitan bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya di samping melindungi keselamatan pengguna jalan raya.
“JPJ juga menyeru dan memohon kerjasama semua pihak untuk mematuhi peraturan dan bertoleransi dengan pengguna lain demi keselamatan diri dan keluarga,” katanya.
--BERNAMA