Am 02/10/2026 11:54 AM

ECRL: Sinar Baharu Untuk "Hidupkan" Semula Pekan Rantau Panjang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
ECRL: Sinar Baharu Untuk
Syed Abu Bakar Syed Daud, 65,

PASIR MAS, 2 Okt (Bernama) -- Rantau Panjang merupakan antara pekan sempadan yang “hidup” dengan aktiviti perniagaan dan menjadi denyut ekonomi penduduknya, namun seiring perjalanan masa premis yang dulunya meriah kini sepi dengan jumlah pengunjung yang semakin berkurangan manakala peniaga yang masih bertahan terus mengharapkan sinar baharu.

Justeru, cadangan menyambung jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat bukan sekadar menyediakan pilihan pengangkutan baharu, malah harapan untuk merancakkan kembali kegiatan ekonomi di pekan itu. 

Bagi mereka yang telah puluhan tahun mencari rezeki di situ, ECRL bukan hanya tentang landasan dan tren tetapi peluang untuk melihat Rantau Panjang kembali sebagai sebuah pekan yang sibuk, meriah dan menjadi tumpuan pengunjung.

Tinjauan Bernama di sekitar pekan Rantau Panjang mendapati sebahagian premis perniagaan masih beroperasi seperti biasa namun terdapat juga kedai yang telah ditutup, menggambarkan perubahan suasana perniagaan berbanding kemeriahan yang pernah dirasai penduduk suatu ketika dulu.

Bagi peniaga yang masih bertahan jumlah pelanggan merupakan penentu kelangsungan perniagaan mereka, sekali gus menjadikan sebarang usaha meningkatkan akses dan pergerakan orang ramai ke kawasan itu amat dinantikan.

Seorang penduduk, Syed Abu Bakar Syed Daud, 65, yang telah lebih 50 tahun menetap di Rantau Panjang, berkata beliau menyaksikan sendiri perubahan pekan berkenaan, khususnya dari segi jumlah pengunjung dan bilangan peniaga.

Beliau yang pernah berniaga di pekan itu selama 44 tahun mengakui kemerosotan aktiviti perniagaan menjejaskan sumber pendapatannya sehingga dua kedai runcit serta sebuah kedai makan miliknya terpaksa ditutup.

“Ketika pekan ini masih ‘hidup’, terdapat lebih 1,000 peniaga beroperasi di sini tetapi sekarang tidak sampai 30 peratus yang masih bertahan. Dulu saya boleh dapat lebih RM1,000 sehari, tetapi sebelum tutup kedai kadang-kadang dua atau tiga hari pun sukar untuk dapat jumlah itu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Syed Abu Bakar berkata perubahan itu lebih ketara selepas pandemik COVID-19 apabila jumlah kunjungan dan aktiviti perniagaan di pekan berkenaan tidak kembali seperti sebelumnya. 

Sehubungan itu, beliau yakin cadangan menyambung ECRL ke Rantau Panjang bakal memberi sinar baharu kepada peniaga yang mahu melihat kawasan berkenaan kembali menjadi tumpuan.

“Saya gembira apabila mendengar berita ECRL hendak disambung ke Rantau Panjang. Harapan kita tentulah lebih ramai orang akan datang dan pekan ini mampu ‘hidup’ kembali,” katanya.

Bagi peniaga, Fu Chee Kat, 81, yang telah lebih 30 tahun berniaga di Rantau Panjang, perubahan pola pelanggan turut memberi kesan kepada operasi perniagaannya.

Beliau yang sebelum ini mempunyai dua kedai menjual pelbagai barangan termasuk kelengkapan dapur dan cadar serta menggaji enam pekerja, terpaksa menutup satu daripada kedai tersebut dua tahun lepas dan kini hanya mempunyai seorang pekerja.

Fuu berkata antara perkara yang sering dibangkitkan pelanggan ialah berkaitan cukai terhadap barangan yang dibeli di kawasan berkenaan.

“Ada pelanggan yang khuatir dikenakan cukai apabila membeli-belah di sini. Jadi, saya berharap perkara ini dapat diberi perhatian dan dinilai semula oleh kerajaan terutama membabitkan pembelian runcit, cukai mungkin boleh dimansuhkan dan hanya dikenakan terhadap pembelian secara borong,” katanya.

Fu berkata sekiranya sambungan ECRL direalisasikan, ia berpotensi meningkatkan jumlah pengunjung, sekali gus memberi manfaat kepada peniaga yang masih bergantung kepada aktiviti perdagangan di pekan itu.

Penduduk, Rozila Salleh, 55, pula menyifatkan perhatian Kerajaan MADANI terhadap pembangunan Rantau Panjang sebagai sesuatu yang amat dihargai, manakala cadangan sambungan ECRL dilihat dapat memberi manfaat pembangunan serta meningkatkan akses pengangkutan di kawasan sempadan.

“Rantau Panjang memang menjadi antara pintu masuk utama ke Thailand, jadi kalau ECRL disambungkan hingga ke sini ia memberikan pilihan pengangkutan kepada penduduk dan pengunjung selain laluan darat yang digunakan sekarang.

“Kami amat menghargai perhatian Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI terhadap pembangunan di kawasan sempadan seperti Rantau Panjang. Kami berharap usaha ini dapat direalisasikan kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk, malah mampu membuka peluang ekonomi yang lebih luas kepada peniaga setempat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Malaysia dan China bersetuju dengan cadangan menyambung projek ECRL dari Kota Bharu ke Rantau Panjang yang berpotensi membuka hubungan pengangkutan terus dengan Thailand.

Perdana Menteri dilapor berkata cadangan itu bukan sahaja berupaya merancakkan ekonomi kawasan pedalaman Kelantan yang sebelum ini kurang mendapat limpahan pembangunan, malah memperkukuh hubungan pengangkutan rentas sempadan.

Pada Ogos lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata ECRL Fasa 1 dari Kota Bharu ke Gombak disasarkan beroperasi pada Disember ini, mendahului jadual asal Januari 2027, bergantung kepada kelancaran proses ujian dan pentauliahan termasuk Ujian Integrasi Sistem dan Fault-Free Run, tanpa sebarang kompromi terhadap aspek keselamatan.

-- BERNAMA