PUTRAJAYA, 1 Okt (Bernama) -- Institusi pendidikan tinggi bukan sekadar tempat menimba ilmu, malah medan membentuk akhlak, sahsiah, keperibadian serta rasa tanggungjawab generasi muda terhadap masyarakat dan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata mahasiswa perlu dilatih untuk mempunyai kekuatan dalaman bagi mempertahankan prinsip dan menolak rasuah serta salah guna kuasa apabila berdepan dengan godaan selepas memasuki alam pekerjaan.
"Kena ingat, sekarang anda boleh bicara tentang salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya tetapi esok bila anda jadi pegawai tadbir, pegawai daerah di satu daerah, datanglah yang berniaga bagi sedikit sagu hati. Kerana sudah dilatih dengan semangat berprinsip, apabila disogokkan yang kecil, (walaupun) hidup tidak senang, menolak.
“Maka sogokan daripada RM500 naik RM1,500. Pada ketika itu kalau naik RM2,000, iman pun sudah goyang. Sebab itu bagi saya, peringatan ini mustahak, sangat penting," kata beliau ketika berucap pada majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2026 di sini malam ini.
Perdana Menteri turut menekankan pendidikan tinggi perlu membentuk individu yang mempunyai asas keimanan, akhlak, sahsiah, keperibadian dan jati diri selain kecemerlangan akademik.
Beliau turut menyeru generasi muda agar mempunyai kesedaran tinggi untuk berkhidmat kepada masyarakat serta berusaha membetulkan kepincangan dalam sistem.
“Harus ada kebangkitan, semangat baharu dalam kalangan Generasi Z iaitu tahap kesedaran yang tinggi.
"… dan saya percaya minat untuk berkhidmat membela nasib, senang kepada kebaikan, benci kepada kebobrokan harus ada dalam jiwa anak-anak muda,” kata beliau.
Anwar berkata keupayaan untuk membezakan perkara yang hak dengan yang batil juga perlu diterapkan kerana ilmu sahaja tidak menjamin keperibadian dan akhlak seseorang individu.
"Ramai cerdik pandai (terlibat) jika kita baca skandal yang terdedah mutakhir ini. Baik 1MDB (1Malaysia Development Berhad) mahupun FELDA atau Tabung Haji, selalunya yang terlibat itu bukan dalam kalangan yang tidak terdidik. Hampir keseluruhannya itu siswazah," kata Perdana Menteri.
Anwar berkata mahasiswa perlu memanfaatkan peluang pendidikan yang ada bukan hanya untuk kepentingan diri tetapi juga menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara.
“Ambillah kesempatan sebaiknya untuk meningkatkan kefahaman dan menanam niat yang baik, selamatkan negara kita.
"Tengoklah yang dapat kemudahan ini, daripada pelbagai kaum, dari pelbagai negeri. Jagalah perpaduan ini. Negara ini harus dijamin dari segi keselamatan, negara ini juga harus diangkat supaya kesenjangan antara kaum, antara wilayah, antara kaya miskin itu dirapatkan,” kata beliau.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Tokoh Siswa Negara kepada Mohamad Amar Aidid Mohd Zain dari Universiti Utara Malaysia dan Anugerah Sinergi Kepimpinan Siswa kepada Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia.
Bertemakan “Gemerlapan Saujana”, ATSN 2026 merupakan platform strategik nasional dalam mengiktiraf mahasiswa serta badan pelajar yang mempamerkan kecemerlangan dan berimpak tinggi kepada komuniti serta negara.
Penjenamaan ATSN 2026 daripada Anugerah Tokoh Siswa (ATS) yang diasaskan sejak 2012 meletakkan mahasiswa bukan lagi sekadar pemimpin persatuan di dewan kuliah dan universiti semata-mata, sebaliknya diiktiraf sebagai pihak berkepentingan strategik yang bersedia memimpin agenda pembangunan sosioekonomi dan kelestarian Malaysia di peringkat ASEAN dan global.
-- BERNAMA