Am 02/10/2026 09:45 PM

RM1 Juta Bangunkan Kampung Angkat Madani UMS Di Kampung Rampayan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
RM1 Juta Bangunkan Kampung Angkat Madani UMS Di Kampung Rampayan
Kredit: UMS

KOTA KINABALU, 2 Okt (Bernama) -- Peruntukan RM1 juta disalurkan bagi membina lima prasarana fizikal di Kampung Rampayan, Manggatal yang dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI Universiti Malaysia Sabah (UMS).

UMS dalam kenyataan hari ini memaklumkan peruntukan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu dimanfaatkan bagi memenuhi keperluan komuniti tempatan di tapak seluas hampir 0.4 hektar.

UMS memaklumkan program itu adalah inisiatif kerajaan yang diselaraskan oleh Kementerian Kewangan bersama dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan JPM membabitkan pelbagai kementerian, agensi dan sektor swasta di seluruh negara.

Sementara itu, Naib Canselor UMS Datuk Dr Kasim Mansor dalam kenyataan sama berkata bagi memastikan pembinaan lima prasarana di kawasan tapak dilaksanakan, semua prosedur dan tatakelola yang ditetapkan telah dipatuhi melalui saluran yang sewajarnya.

Projek fizikal yang berjaya disiapkan merangkumi pintu gerbang kampung, dewan terbuka, pusat komuniti, pemasangan lampu solar dan pembinaan pondok nelayan, sekali gus menjadi asas kepada kerjasama berterusan menerusi program pendidikan serta keusahawanan.

Beliau berharap projek itu mampu memberikan impak positif kepada sosial dan ekonomi penduduk setempat selain menjadikan UMS sebagai peneraju program Kampung Angkat MADANI.

-- BERNAMA