Am 02/10/2026 10:54 PM

Siaran Langsung Perlumbaan F1 Di RTM Semarak Minat Rakyat Pada Sukan Permotoran - KBS

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Siaran Langsung Perlumbaan F1 Di RTM Semarak Minat Rakyat Pada Sukan Permotoran - KBS
fb RTMKLIK

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Penyiaran perlumbaan Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix (GP) di Malaysia 2026 secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) diyakini mampu menyemarakkan minat rakyat terhadap sukan permotoran.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif itu juga berupaya menarik minat rakyat terhadap sukan itu, khususnya dalam kalangan generasi muda selain memperkukuh keterlibatan rakyat dalam meraikan penganjuran acara sukan antarabangsa di negara ini.

“Siaran langsung ini memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama merasai kemeriahan dan debaran perlumbaan Formula 1, khususnya kepada mereka yang tidak berkesempatan hadir ke Sepang International Circuit (SIC).

“Inisiatif ini dilaksanakan bagi memastikan penganjuran acara sukan bertaraf dunia tersebut dapat dinikmati secara lebih meluas oleh rakyat di seluruh negara,” menurut kenyataan itu. 

Dalam pada itu, KBS turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmen memastikan kemeriahan penganjuran perlumbaan dapat dikongsi seluruh rakyat Malaysia serta kepada Kementerian Komunikasi dan RTM atas kerjasama merealisasikan siaran langsung tersebut.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan perlumbaan F1 Gulf Air Bahrain GP di Malaysia 2026 akan disiarkan secara langsung menerusi RTM bagi membolehkan kemeriahan perlumbaan bertaraf dunia itu dinikmati seluruh rakyat di negara ini.

Perlumbaan F1 GP Gulf Air Bahrain 2026 akan berlangsung di SIC dari hari ini hingga Ahad.

SIC dipilih menjadi tuan rumah F1 GP Gulf Air Bahrain 2026, sekali gus menjadikan litar ikonik itu sebagai lokasi sementara bagi perlumbaan berprestij Bahrain itu.

Pada Julai lepas, Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah perlumbaan itu susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.

-- BERNAMA