REMBAU, 2 Okt (Bernama) -- Pelumba Modern Adventure Pro Cycling, Riley Pickrell menampilkan kayuhan bertenaga untuk menjuarai Peringkat Enam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 manakala pelumba Jerman Lennart Jasch terus kukuh mempertahankan Jersi Jingga selaku pendahulu keseluruhan.
Pada perlumbaan dari Pandan Indah ke Rembau sejauh 121.3 kilometer (km) hari ini, pelumba Kanada berusia 25 tahun itu mencatat masa dua jam 40 minit 06 saat, mengetepikan pencabar utamanya yang juga pendahulu klasifikasi pelumba pecut terbaik, Matteo Malucelli dari XDS Astana Team, manakala pelumba Tudor Pro Cycling Team, Seppe Van Den Boer menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan masa sama.
“Kemenangan hari ini hasil kerja rakan sepasukan yang melakukan tugas sangat baik. Dalam dua pecutan terakhir, jelas sekali persaingan antara saya dan Malucelli sangat sengit.
“Faktor kemenangan saya hari ini kerana rakan sepasukan berjaya meletakkan saya pada kedudukan lebih baik berbanding Malucelli. Saya benar-benar terhutang budi kepada rakan sepasukan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kemenangan itu menjadi detik manis buat Pickrell selepas dua kali terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua di belakang Malucelli, masing-masing pada Peringkat Pertama dari Shah Alam ke Kampar dan Peringkat Tiga dari Sungai Petani ke Kuala Kangsar.
“Kami tahu perlu berada pada kedudukan terbaik dan Scott berjaya membawa saya melepasi selekoh sebelum memberi ruang untuk saya memecut ke garisan penamat. Saya sangat gembira,” katanya.
“Kieran menyertai kelompok pemisah awal sehingga memaksa pasukan Astana mengerah sepenuh tenaga seawal 10 hingga 15 km selepas perlumbaan bermula. Pada masa sama, saya dan rakan sepasukan hanya perlu kekal tenang dalam kelompok utama dan semua itu hasil usaha Kieran,” katanya.
Riley turut menzahirkan rasa hormat terhadap Malucelli dengan menyifatkan pelumba Itali itu sebagai pelumba pecut hebat yang dikaguminya, selain mengakui persaingan dengan pelumba berkenaan menjadikan kemenangan itu lebih bermakna.
Beliau berkata meskipun amat menghormati pencabarnya itu, beliau tetap bertekad memberikan yang terbaik untuk menewaskan Malucelli dalam setiap perlumbaan.
Mengenai peringkat seterusnya, Riley mengakui laluan berkenaan mungkin lebih sesuai dengan karakter Malucelli, namun apa sahaja boleh berlaku selepas pelumba mengharungi jarak perlumbaan yang panjang dengan faktor keletihan semakin dirasai.
Sementara itu, pelumba Tudor Pro Cycling Team, Lennart Jasch selesa mempertahankan Jersi Jingga selaku pendahulu keseluruhan dengan catatan 21 jam 38 minit 39 saat, mengekalkan kelebihan 42 saat ke atas Jan Castellon Ribalt dari Caja Rural-Seguros RGA (21:39:21s), manakala Jose Manuel Diaz Gallego dari Burgos-Burpellet-BH di tempat ketiga (21:39:59s).
Lennart turut mengekalkan penguasaan klasifikasi Raja Bukit (Jersi Polka Dot) dengan 45 mata, mengatasi Petr Rikunov dari Wheeltop Rotor Chengdu yang mengumpul 41 mata, manakala Malucelli terus menyarung Jersi Biru dengan 44 mata, lima mata di hadapan Riley (39 mata).
Bagi perebutan Pelumba Terbaik Asia (Jersi Putih), pelumba Jepun Yuhi Todome dari Aisan Racing Team kekal mendahului dengan catatan 21 jam 46 minit, diikuti dua pelumba Malaysia Tsen Ren Bao dari St George Continental Cycling Team (21:49:44s) di tempat kedua dan Tsen Ren Han yang mewakili skuad kebangsaan Malaysia di kedudukan ketiga (21:51:25s).
Peringkat Tujuh esok menyaksikan peloton mengharungi laluan sejauh 158.9 km dari Dataran Pahlawan, Melaka ke Jalan Rahmat, Batu Pahat, dengan tiga zon pecutan masing-masing di Tangkak, Bukit Kepong dan Parit Sulong.
-- BERNAMA