Am 02/10/2026 11:20 PM

RIUH Pitstop Bawa Kelainan, Gabungan Industri Kreatif Tempatan Dengan Aksi Perlumbaan Di Sepang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
RIUH Pitstop Bawa Kelainan, Gabungan Industri Kreatif Tempatan Dengan Aksi Perlumbaan Di Sepang
fb RIUHintheCity

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Peminat seni, budaya dan sukan permotoran di ibu kota bakal disajikan dengan kelainan hujung minggu ini apabila acara 'RIUH Pitstop' membawa gabungan kemeriahan aksi perlumbaan Sepang dan 60 jenama tempatan di bawah satu bumbung.

MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) dalam kenyataan hari ini memaklumkan acara itu akan diadakan di Raintree Plaza, The Exchange TRX di sini bermula Sabtu hingga Ahad ini dari 1 tengah hari hingga 12 tengah malam dengan kemasukan percuma. 

“Pelbagai aktiviti menarik telah disusun sepanjang dua hari program berlangsung. Edisi kali ini bakal menghimpunkan 60 jenama tempatan termasuk pilihan jenama fesyen, gaya hidup serta makanan dan minuman tempatan. 

“Pengunjung juga boleh menyertai lebih 30 bengkel merangkumi 20 bengkel kreatif dan 10 bengkel kanak-kanak yang menawarkan pelbagai pengalaman seni dan budaya kreatif," menurut kenyataan itu. 

Pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan daripada barisan artis terkenal termasuk Dayang Nurfaizah, Sonaone, Jumero, Woshijay, Kicau Bilau serta Orang Orang Drum Theatre, selain persembahan komedi yang menampilkan aksi spontan dan interaktif. 

MyCreative memaklumkan gabungan acara pelbagai dimensi itu direka khusus bagi menghargai bakat tempatan serta menawarkan pengalaman hujung minggu yang meriah untuk seisi keluarga di samping menyokong bakat serta perniagaan kreatif tempatan.

"Orang ramai diundang hadir untuk menikmati pelbagai aktiviti, persembahan, jenama tempatan dan pengalaman kreatif yang disediakan sepanjang acara,” menurut kenyataan itu.

Maklumat lanjut mengenai RIUH Pitstop boleh diperoleh menerusi platform media sosial Facebook, Instagram dan TikTok @riuhinthecity.

-- BERNAMA