Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Jumaat berikutan kebimbangan mengenai peningkatan inventori domestik yang terus menjejaskan sentimen pasaran.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata prestasi lemah itu turut dikaitkan dengan permintaan eksport yang perlahan, dengan penghantaran pada September menunjukkan penurunan yang ketara berbanding bulan sebelumnya.
Menurutnya pemeriksa kargo Intertek Testing Services (ITS) menganggarkan eksport minyak sawit Malaysia pada September berjumlah kira-kira 1.13 juta tan, menyusut 17.1 peratus berbanding bulan sebelumnya.
“Keadaan ini menambahkan kebimbangan bahawa permintaan luar negara yang lemah boleh menyebabkan paras stok dalam negara meningkat.
“Sentimen turut terjejas akibat harga minyak kacang soya yang lebih rendah sekali gus memberi tekanan kepada pasaran minyak sayuran secara keseluruhan,” katanya kepada Bernama.
Pada akhir dagangan, kontrak Oktober 2026 susut RM20 kepada RM4,354 satu tan manakala November 2026 rendah RM20 kepada RM4,441 dan Disember 2026 berkurangan RM19 kepada RM4,535.
Kontrak Januari 2027 susut RM25 kepada RM4,627 satu tan, Februari 2027 menyusut RM36 kepada RM4,709 dan Mac 2027 berkurangan RM48 kepada RM4,786.
Jumlah dagangan meningkat kepada 164,637 lot daripada 106,630 lot pada Khamis manakala kepentingan terbuka menurun kepada 334,658 kontrak daripada 341,306 kontrak sebelum ini.
Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan susut RM100 kepada RM4,400 satu tan.
-- BERNAMA