KOTA KINABALU, 2 Okt (Bernama) -- Kesemua empat pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Penampang ditutup, selepas keadaan banjir di daerah terjejas itu pulih pada 8 malam ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan perkembangan positif itu, membolehkan semua mangsa yang ditempatkan di PPS berkenaan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
“Tiada sebarang laporan kemalangan jiwa atau kematian direkodkan sepanjang tempoh bencana melanda daerah terbabit.
“Semua PPS di Penampang telah rasmi ditutup dan semua lokasi yang terjejas telah kembali pulih,” kata JPBN Sabah menerusi kenyataan malam ini.
Penutupan itu melibatkan PPS Kompleks Sukan Penampang, Dewan Huguan Siou, Sekolah Kebangsaan St Paul Kolopis dan Parish Hall St Michael. Sebanyak 118 mangsa daripada 41 keluarga dipindahkan ke PPS tersebut pagi tadi.
Bencana itu diisytiharkan secara rasmi oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Penampang Noemi Dyena John Tren pada 10.40 malam semalam, yang membolehkan empat PPS itu dibuka susulan hujan berterusan.
Paras Sungai Moyog turut melepasi paras bahaya pada ketinggian 9.12 meter. Banjir berikutan limpahan air sungai itu sebelum ini menjejaskan 15 kampung, serta menyebabkan 12 laluan di sekitar daerah berkenaan dinaiki air.
Dalam pada itu, JPBN Sabah memaklumkan satu PPS di daerah Kota Kinabalu iaitu Dewan Masyarakat Manggatal yang dibuka sejak 8 malam semalam masih beroperasi, namun masih dalam proses pendaftaran mangsa sehingga malam ini.
-- BERNAMA