SHAH ALAM, 1 Okt (Bernama) -- Seorang penghantar makanan yang sebelum ini tular dalam video kerana melanggar seorang pelajar di lintasan pejalan kaki, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara tidak cermat.
Muhammad Haziq Izzuddin Ruslan, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.
Lelaki itu yang didakwa menunggang motosikal jenis Yamaha, memandu kenderaan berkenaan di jalan raya tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya terhadap pengguna jalan raya lain.
Perbuatan itu didakwa menyebabkan kemalangan membabitkan seorang pejalan kaki di Persiaran Saujana 4, Daerah Sungai Buloh, pada 12.08 tengah hari, 28 Sept.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 dan RM10,000 serta penjara sehingga 12 bulan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Alia Anisa Khairus Masnan mencadangkan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Muhamad Saifullah Muhamad Azmi memohon jumlah jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya perlu menanggung ibu bapanya yang tidak bekerja.
“Dia tidak mempunyai pendapatan tetap, maka jumlah yang tinggi akan menyukarkan keluarga untuk mengumpul wang bagi tujuan jaminan. Selepas kejadian, dia tidak melarikan diri dan berada bersama mangsa di tepi jalan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis sebulan sekali selain menetapkan sebutan semula kes pada 12 Nov depan.
Isnin lepas, video yang tular memaparkan seorang pelajar yang baru keluar daripada sebuah kenderaan dilanggar penunggang motosikal ketika sedang melintas di lintasan berkenaan.
Video berdurasi 60 saat itu memaparkan, pelajar terbabit kelihatan berguling di atas jalan akibat rempuhan itu sementara penunggang motosikal tersebut turut terjatuh.
-- BERNAMA