Am 01/10/2026 08:33 PM

Anwar, Shehbaz Bincang Perkembangan Serantau Dan Hubungan Malaysia-Pakistan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Anwar, Shehbaz Bincang Perkembangan Serantau Dan Hubungan Malaysia-Pakistan
fb Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau serta hubungan dua hala Malaysia-Pakistan.

Anwar dalam catatan di Facebook berkata beliau merakamkan penghargaan terhadap peranan Pakistan dalam mengusahakan rundingan damai antara Amerika Syarikat dan Iran, selain menegaskan bahawa ruang dialog dan diplomasi perlu terus diperkukuh bagi meredakan ketegangan serta membuka jalan ke arah keamanan yang berkekalan.

Menerusi perbualan itu, Anwar turut menyampaikan harapan agar kunjungan Ketua Tentera Pakistan, Field Marshal Asim Munir ke Malaysia dapat direalisasikan setelah beberapa kali tertangguh.

“Saya mengalu-alukan kedatangan beliau pada bila-bila masa yang bersesuaian tanpa perlu terikat dengan aturan protokol rasmi,” kata beliau.

Dalam perbualan itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan urusan eksport daging yang akan terus disusuli oleh pasukan kedua-dua negara bagi membuka ruang kerjasama lebih luas.

Anwar berkata persahabatan Malaysia dan Pakistan perlu terus diterjemahkan kepada ikhtiar yang membawa manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara.

Sementara itu, Perdana Menteri turut menghargai ingatan dan ucapan takziah Shehbaz berhubung pemergian abangnya Allahyarham Idrus Ibrahim pada 24 Sept lepas, yang disifatkan memberi makna besar buat keluarga dalam saat kehilangan itu.

“Beliau juga menitipkan salam takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas pemergian Almarhumah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali,” kata Anwar. 

-- BERNAMA