Am 01/10/2026 10:04 PM

Daya Tahan Ekonomi AS Dorong Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Daya Tahan Ekonomi AS Dorong Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Khamis, sejajar dengan penurunan harga jongkong emas global apabila pelabur menilai data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang bercampur-campur dan menunggu petunjuk seterusnya berhubung prospek dasar kewangan AS.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata harga emas telah pulih melebihi US$4,200 setiap auns troy menjelang pengumuman data inflasi AS semalam, tetapi kembali berada di bawah tekanan walaupun data yang dikeluarkan lebih rendah daripada jangkaan.

“Angka inflasi yang lebih rendah daripada jangkaan itu sepatutnya menyokong harga jongkong emas, tetapi data ekonomi lain menunjukkan ekonomi AS terus berdaya tahan dan harga emas kembali berada di bawah tekanan menjelang akhir sesi dagangan AS,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata emas sukar untuk mendapatkan semula momentumnya di sepanjang kebanyakan sesi dagangan Asia, ditutup rendah sedikit berbanding hari sebelumnya di tengah-tengah dagangan yang lembap berikutan pasaran China ditutup sempena cuti Minggu Emas.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta September 2026 susut kepada US$4,172.70 setiap auns troy daripada US$4,188.80 setiap auns troy pada Rabu, manakala Oktober 2026 turun kepada US$4,189.30 setiap auns troy daripada US$4,201.30 setiap auns troy.

Kontrak November 2026 merosot kepada US$4,206.00 setiap auns troy daripada US$4,217.90 setiap auns troy semalam, manakala Disember 2026, Februari 2027 dan April 2027 kesemuanya susut kepada US$4,206.00 setiap auns troy daripada US$4,225.70 setiap auns troy sebelum ini.

Jumlah dagangan meningkat kepada 174 lot daripada 127 lot pada Rabu, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 213 kontrak daripada 171 kontrak sebelumnya.

Harga emas fizikal berada pada US$4,176.30 setiap uns troy mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 30 Sept.

-- BERNAMA