Am 02/10/2026 12:07 AM

Aichi-Nagoya 2026: Dua Final Skuasy, Keirin Jadi Tumpuan Misi Emas Malaysia Esok

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Aichi-Nagoya 2026: Dua Final Skuasy, Keirin Jadi Tumpuan Misi Emas Malaysia Esok
fb Squash Racquets Association of Malaysia

Daripada Muhammad Afiff Md Adnan

NAGOYA, 1 Okt (Bernama) -- Kontinjen Malaysia gagal menambah koleksi emas pada hari ke-13 Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 hari ini, namun peluang untuk kembali meraih kilauan pingat berharga itu terbuka esok menerusi dua final skuasy serta aksi jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam acara keirin.

Skuad skuasy lelaki dan wanita masing-masing mengesahkan tempat ke final selepas menyingkirkan juara bertahan India 2-1 dan tuan rumah Jepun 2-0, sekali gus meletakkan Malaysia dalam landasan memburu dua lagi emas dari gelanggang skuasy.

Kejayaan itu turut menyaksikan Malaysia kembali mempunyai wakil dalam final berpasukan lelaki dan wanita pada edisi sama selepas kali terakhir melakukannya pada Sukan Asia Incheon 2014.

Turut mencuri tumpuan hari ini ialah skuad hoki lelaki negara yang mengesahkan tempat ke final selepas menewaskan Korea Selatan 2-1.

Malaysia akan berdepan India dalam aksi penentuan pingat emas yang dijadual berlangsung Sabtu.

Dalam judo, Amir Daniel Abdul Majeed memberikan tentangan sengit pada penampilan sulungnya sebelum tewas kepada bekas naib juara dunia dari Jepun, Sotaro Fujiwara, pada pusingan 16 terbaik kategori bawah 81 kilogram (kg).

Amir Daniel berada di depan sehingga penghujung pertarungan sebelum Fujiwara melancarkan serangan balas pada saat-saat akhir untuk menamatkan cabaran wakil negara.

Sementara itu, Azizulhasni menghadiahkan pingat gangsa menerusi acara pecut individu lelaki selepas terkandas pada separuh akhir, sekali gus menyaksikan kontinjen negara mengumpul enam emas, lima perak dan 13 gangsa setakat ini.

Jaguh yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman itu bagaimanapun masih berpeluang menambah koleksi pingat apabila kembali ke Velodrom Izu bagi saingan keirin esok.

Dengan dua final skuasy serta cabaran Azizulhasni dalam keirin menjadi tumpuan, kontinjen negara berpeluang kembali memburu kilauan emas ketika temasya semakin menghampiri penghujungnya.

-- BERNAMA