Am 01/10/2026 09:07 PM

Aichi-Nagoya 2026: Azrai Aizad Wira Speedy Tigers, Malaysia Buru Emas dan Tiket LA28

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Aichi-Nagoya 2026: Azrai Aizad Wira Speedy Tigers, Malaysia Buru Emas dan Tiket LA28
Skuad hoki lelaki kebangsaan meraikan kejayaan selepas berjaya menewaskan Korea 2-1, sekaligus melayakkan Malaysia ke final acara hoki lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Gifu Prefectural Green Stadium hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Daripada Muhammad Afiff Md Adnan

GIFU (JEPUN), 1 Okt (Bernama) -- Penyerang Azrai Aizad Abu Kamal muncul wira Speedy Tigers apabila meledak dua gol untuk membantu Malaysia menundukkan juara empat kali Korea Selatan 2-1 pada aksi separuh akhir hoki lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di di Stadium Gifu Prefectural Green, hari ini.

Kemenangan itu membawa skuad negara ke pentas final untuk berdepan juara bertahan India pada Sabtu, dengan pingat emas serta tiket automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) menjadi taruhan.

Selepas kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan pada separuh masa pertama, Azrai Aizad membuka tirai jaringan pada minit ke-40 menerusi pukulan sudut penalti.

Penyerang berbisa negara itu sekali lagi mencatat nama selaku penjaring tiga minit kemudian apabila tenang menyempurnakan pukulan penalti untuk menggandakan kelebihan Speedy Tigers.

Korea Selatan bagaimanapun kembali merapatkan jurang menerusi Lee Gangsan pada minit ke-42, namun barisan negara kekal kental mempertahankan kelebihan 2-1 sehingga wisel penamat.

Sementara itu, India menempah pertemuan dengan Malaysia selepas menewaskan seteru tradisi Pakistan 4-3 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Kemaraan ke final itu turut menyaksikan ketua jurulatih kebangsaan Brendon Carolan memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan buat skuad negara pada temasya kali ini.

Ia merupakan penampilan ketiga Malaysia dalam final hoki lelaki Sukan Asia selepas meraih pingat perak pada edisi Guangzhou 2010 dan Jakarta-Palembang 2018.

Pada edisi lepas di Hangzhou 2022, Speedy Tigers menduduki tempat keenam.

-- BERNAMA