Ekonomi 01/10/2026 08:22 PM

Kelab Bola Sepak Eropah Wajar Pertimbang Pelaburan Dalam Akademi Di Malaysia - Jaap Stam

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kelab Bola Sepak Eropah Wajar Pertimbang Pelaburan Dalam Akademi Di Malaysia - Jaap Stam
KUALA LUMPUR, 8 Mei ' Lagenda bolasepak Liverpool FC, Steven Gerrard (tengah) menjawab pertanyaan media pada majlis sidang media Allstar Legends di sini hari ini. Turut bersama Pengarah Projek Allstar Sports Sdn. Bhd, Steven Windsor (kiri) dan Pengarah World Football Legends, Ian Holahan (kanan).--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARAKUALA LUMPUR, May 8 ' Liverpool FC football legend Steven Gerrard (centre) answers media questions during the Allstar Legends press conference here today.Also present are Allstar Sports Sdn. Bhd. Project Director Steven Windsor (left) and World Football Legends Director Ian Holahan (right).-- fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED

KUALA LUMPUR, 1 Okt -- Kelab bola sepak utama Eropah wajar mempertimbangkan untuk melabur secara langsung di Malaysia dengan menubuhkan akademi mereka sendiri, kata bekas pertahanan Manchester United dan pemain pasukan kebangsaan Belanda, Jaap Stam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kelab-kelab Eropah patut menubuhkan dan mengendalikan akademi bola sepak mereka sendiri di Malaysia, melangkaui kerjasama sedia ada dengan entiti tempatan.

Dalam hal ini Stam sebagai bekas pemain profesional bersetuju pendekatan sedemikian harus dipertimbangkan.

“Saya fikir kerjasama itu amat baik. Pelaburan dalam akademi juga sangat penting," katanya pada sidang media sempena acara AllStar Legends di sini hari ini.

Beliau berada di Kuala Lumpur bersama bekas bintang bola sepak lain termasuk John Arne Riise, Steven Gerrard, Michael Owen dan Alessandro Del Piero untuk mempromosikan perlawanan lima sebelah AllStar Legends, yang bakal berlangsung pada 3 Oktober di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Bekas pemain kebangsaan Belanda itu yang kemudiannya menceburi bidang pengurusan bola sepak berkata, penekanan yang lebih besar perlu diberikan kepada pembangunan akademi untuk menyediakan laluan kepada pemain muda mendapat tempat dalam pasukan utama.

Sependapat dengan pandangan Stam, bekas pemain pertahanan Liverpool, John Arne Riise berkata pentingnya pendekatan jangka panjang untuk kelab-kelab Eropah yang mahu mengukuhkan kehadiran mereka di Malaysia dan bukannya mengehadkan penglibatan kepada program sekali sahaja.

“Saya percaya pada pemikiran jangka panjang. Tidak kira apa jua yang anda lakukan, saya percaya kita perlu berfikir untuk jangka panjang,” katanya.

Malaysia kini mempunyai beberapa akademi bola sepak yang bergabung dengan kelab-kelab Eropah, termasuk Villarreal, Real Madrid dan Liverpool. Ia beroperasi menerusi Kerjasama atau Perjanjian Pelesenan dengan entiti tempatan dan bukannya dikendalikan secara langsung oleh kelab-kelab berkenaan.

Sementara itu, perlawanan AllStar Legends bakal menyaksikan pertembungan Premier League Legends menentang World Legends.

Pasukan Premier League Legends dibarisi oleh Gerrard, Owen, Ryan Giggs, Eidur Gudjohnsen, David Bentley, Danny Simpson dan Riise.

Stam pula akan beraksi untuk pasukan World Legends bersama-sama Del Piero, Dida, Javier Saviola, Fernando Morientes, Diego Capel dan Gregory van der Wiel.

— BERNAMA