Am 01/10/2026 08:19 PM

Ops Sapu: Enam Pendatang Tanpa Izin Ditahan Di Labuan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Ops Sapu: Enam Pendatang Tanpa Izin Ditahan Di Labuan
Foto: JIM Labuan

LABUAN, 1 Okt (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) Labuan menahan enam pendatang tanpa izin menerusi Ops Sapu di kawasan bandar, semalam. 

Pengarahnya Mohd Redzuan Nawi berkata operasi dari 10.30 malam hingga 1.30 pagi itu melibatkan pemeriksaan ke atas 47 warga tempatan dan warga asing.

“Mereka yang ditahan ialah seorang lelaki, empat wanita dan seorang kanak-kanak perempuan terdiri daripada lima warga Filipina termasuk kanak-kanak itu dan seorang dari Indonesia,” katanya kepada Bernama hari ini. 

Beliau berkata mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua mereka ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan serta Depot Tahanan Imigresen Labuan untuk siasatan dan tindakan lanjut.  

Mohd Redzuan berkata jabatan itu akan terus mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang didapati melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Tindakan juga akan diambil terhadap pihak yang menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin dan mereka yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi JIM Labuan menerusi 087-421 296, Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau e-mel pro_labuan@imi.gov.my.

-- BERNAMA