Ekonomi 01/10/2026 04:20 PM

Utamakan Keterjaminan Makanan Marin, Pencegahan Pencemaran Dalam Bajet 2027 - Pakar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Utamakan Keterjaminan Makanan Marin, Pencegahan Pencemaran Dalam Bajet 2027 - Pakar

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Malaysia digesa mengiktiraf keterjaminan makanan marin dan pencegahan pencemarannya sebagai isu daya tahan nasional dan keutamaan ekonomi menerusi Belanjawan 2027.

Ketua Kelestarian dan Perancangan Strategik Kumpulan Hexagon Synergy Dr Nur Zulaikha Yusof berkata pelan tindakan kewangan 2027 sepatutnya menyokong pelaburan yang lebih besar dalam infrastruktur dan sistem yang diperlukan bagi membanteras pencemaran marin dari punca asalnya.

Beliau memberi amaran bahawa kegagalan menangani isu ini boleh merosakkan ekosistem yang menyokong sektor perikanan dan akuakultur.

“Sektor ini sangat penting kepada ekonomi negara, bernilai lebih RM1.3 bilion, menyediakan peluang pekerjaan untuk lebih 100,000 orang serta menjadi sumber pendapatan penting bagi kebanyakan komuniti.

"Apa yang penting, ini termasuk menempatkan kemudahan penerimaan pelabuhan (PRF) yang mantap bagi pemungutan, pengolahan dan pelupusan sisa kapal secara betul," kata pakar pengurusan sisa dan kelestarian alam sekitar itu kepada Bernama hari ini.

PRF merupakan kemudahan khusus di pelabuhan yang direka untuk menerima, mengurus dan memproses sisa daripada kapal sekali gus memastikan pematuhan terhadap peraturan alam sekitar maritim antarabangsa.

Kerajaan dalam pelan pembangunan dan kewangannya sepatutnya memberi penekanan yang lebih besar kepada perlindungan alam sekitar marin Malaysia sebagai komponen teras agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) negara.

Hal ini amat penting terutamanya ketika Malaysia berusaha untuk memperkukuh keterjaminan makanan marin, melindungi mata pencarian penduduk pesisir pantai dan memperluas ekonomi biru yang lebih luas merangkumi penggunaan sumber lautan dan pesisir pantai secara lestari.

Nur Zulaikha memberitahu kapal menghasilkan sisa berminyak, kumbahan, plastik, sampah dan sisa operasi lain yang jika tidak diuruskan dengan betul, boleh mencemari alam sekitar marin.

Ini sekali gus memberi tekanan tambahan kepada perairan dan habitat pesisir pantai, merosakkan ekosistem yang menyokong sektor perikanan serta meningkatkan kos pembersihan.

Kesan buruknya bukan sahaja terhad kepada alam sekitar berikutan kesejahteraan ekosistem marin mempunyai kaitan rapat dengan ketersediaan makanan laut, aktiviti perikanan serta mata pencarian komuniti pesisir pantai.

Ini sekali gus menegaskan keperluan Belanjawan 2027 untuk memberi keutamaan kepada pelaburan dalam langkah yang memperkukuh perlindungan marin dan seterusnya menjamin keterjaminan makanan serta ekonomi pesisir pantai negara.

"Amaran itu sudah pun jelas kelihatan menerusi hasil tangkapan perikanan Malaysia, walaupun terdapat pemulihan singkat pada 2022, data Pusat Pembangunan Perikanan Asia Tenggara (SEAFDEC) menunjukkan pengeluaran tangkapan marin merosot hampir 190,000 tan antara 2019 dan 2023, daripada kira-kira 1.46 juta kepada 1.27 juta tan.

"Bagi sektor yang memberi makan kepada rakyat dan menyokong ekonomi pesisir pantai, arah tuju adalah sama pentingnya dengan jumlah angka tersebut,” kata beliau.

Nur Zulaikha menegaskan bahawa keterjaminan makanan marin tidak sepatutnya dinilai di jeti pendaratan sahaja.

Ia turut merangkumi ketersediaan dan keselamatan makanan laut, kebolehcapaian kawasan tangkapan ikan bagi komuniti pesisir pantai serta kelestarian mata pencarian dalam sektor perikanan, akuakultur, pemprosesan dan perdagangan.

Oleh itu, melindungi laut daripada pencemaran yang boleh dielakkan bukan sahaja satu kewajipan alam sekitar, malah merupakan satu keperluan ESG, memandangkan kesejahteraan ekosistem marin menjadi teras kepada keterjaminan makanan serta aktiviti ekonomi pesisir pantai.

"PRF secara berkesan menterjemahkan keutamaan ini kepada tindakan dengan mengurus sisa kapal secara selamat di darat, seterusnya melindungi lautan, keterjaminan makanan dan mata pencarian penduduk pesisir pantai Malaysia,” katanya.

Nur Zulaikha memberitahu PRF tidak akan membangunkan semula stok ikan dan tidak boleh menggantikan pengurusan perikanan yang berkesan, perlindungan habitat, penyesuaian iklim, penangkapan ikan secara lestari atau kawalan terhadap pencemaran dari darat.

Jelasnya, peranan PRF lebih khusus, tetapi impaknya nyata.

Dengan menyediakan saluran yang terkawal dan terjamin bagi kapal untuk memindahkan sisa ke darat, PRF mampu mengurangkan risiko pencemaran, kerosakan habitat, gangguan terhadap aktiviti perikanan serta kemerosotan kualiti air yang menyokong pengeluaran makanan laut.

 

Sistem PRF Berkesan Perlu Peraturan Jelas, Penguatkuasaan

 

Beliau turut merayu supaya kerajaan mempertimbangkan pembentukan dasar dan rangka kerja kawal selia PRF yang khusus bagi menyediakan asas undang-undang yang jelas untuk penyerahan sisa, pengaturan pemulihan kos, pemantauan dan penguatkuasaan dengan mengguna pakai amalan terbaik Eropah untuk PRF.

Pendekatan Kesatuan Eropah di bawah Arahan (EU) 2019/883 mengenai kemudahan penerimaan pelabuhan bagi penyerahan sisa daripada kapal menyediakan tanda aras antarabangsa yang berguna untuk sistem PRF yang berkesan.

"Ia mengiktiraf bahawa usaha mencegah pembuangan sisa di laut memerlukan lebih daripada sekadar infrastruktur fizikal; ia mesti diperkukuh dengan kewajipan penyerahan sisa yang jelas, pengaturan pemulihan kos yang bersesuaian, pemantauan berkesan serta penguatkuasaan yang konsisten,” katanya.

Nur Zulaikha memaklumkan bukti daripada Penilaian REFIT terdahulu terhadap Arahan PRF menyokong pendekatan yang lebih menyeluruh ini.

Jumlah sampah yang diserahkan oleh kapal ke pelabuhan EU meningkat secara ketara dengan penyerahan pada 2013 dilaporkan melebihi dua kali ganda berbanding jumlah yang direkodkan pada 2004.

Dalam tempoh yang sama, pengesanan tumpahan minyak berpotensi menurun daripada purata 10.77 setiap 1,000 kilometer persegi pada 2008 kepada 3.89 pada 2013 sekali gus menunjukkan pengurangan selaras dalam anggaran pembuangan sisa berminyak di laut.

 

PRF Memacu Agenda ESG Malaysia

 

Nur Zulaikha berkata PRF yang berfungsi dengan baik mampu menyokong agenda ESG Malaysia secara langsung dengan menterjemahkan tanggungjawab alam sekitar kepada satu sistem pengurusan sisa yang terkawal dan boleh diukur.

Bagi Malaysia, memperkukuh PRF bukan sekadar untuk memenuhi kewajipan antarabangsa. 

Ia mengenai usaha melindungi alam sekitar marin, memelihara sumber yang menyokong keterjaminan makanan serta menyampaikan hasil ESG yang lebih kukuh.

Dengan memastikan sisa yang dijana dari kapal tidak memasuki persekitaran marin, melindungi sumber dan mata pencarian penduduk pesisir pantai serta memastikan sisa didokumentasikan, boleh dikesan dan diuruskan melalui saluran yang diiktiraf, PRF mengintegrasikan perlindungan alam sekitar, daya tahan sosial, dan kebertanggungjawaban tatakelola ke dalam satu kerangka kerja operasi

"Melalui cara ini, PRF dapat membantu pelabuhan dan pemegang taruh maritim menunjukkan prestasi ESG yang nyata selain menyokong cita-cita Malaysia yang lebih luas untuk membina ekonomi maritim yang lebih bersih, bertanggungjawab dan berdaya tahan,” jelasnya.

-- BERNAMA