Am 01/10/2026 04:55 PM

KKM Batal Notifikasi Produk Kosmetik Beracun

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KKM Batal Notifikasi Produk Kosmetik Beracun

PUTRAJAYA, 1 Okt (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan notifikasi produk kosmetik GB Daily Glow Skin Ceam, selepas dikesan mengandungi racun berjadual, merkuri dan tidak lagi dibenarkan dijual di negara ini.

KKM memaklumkan merkuri dilarang di dalam kosmetik, kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau belum dilahirkan.

“Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” menurut KKM dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, KKM menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan kosmetik terbabit.

“Orang awam yang sedang menggunakan kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan, jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

“Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu kosmetik dan senarai kosmetik yang telah dibatalkan, dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan KKM itu memaklumkan bahawa penjual dan pengedar kosmetik terlibat, perlu menghentikan penjualan dan pengedaran kosmetik tersebut dengan serta-merta.

“Penjualan dan pengedaran kosmetik ini, melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” menurut kenyataan itu.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan berkenaan, boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan pula boleh dikenakan denda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan hingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya.

-- BERNAMA