Am 01/10/2026 06:53 PM

Wakaf IKIM: Marhamah Ajak Masyarakat Sebarkan Manfaat Wakaf

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Wakaf IKIM: Marhamah Ajak Masyarakat Sebarkan Manfaat Wakaf
Kredit: FB IKIM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Masyarakat digalakkan bukan sahaja menyumbang kepada wakaf tetapi juga menyebarkan maklumat mengenai manfaat dan peluang berwakaf bagi memperluas penyertaan orang ramai dalam amalan itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli berkata usaha memperkenalkan wakaf kepada seluruh umat Islam penting bagi memastikan program itu terus mendapat sokongan untuk membiayai aktiviti penyebaran ilmu dan pembangunan ummah.

Beliau berkata amalan wakaf tidak terhad kepada golongan berharta atau syarikat korporat besar, sebaliknya boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja mengikut kemampuan masing-masing.

“Masyarakat boleh memainkan peranan dengan menyampaikan maklumat mengenai wakaf kepada orang lain bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan lebih ramai tampil menyumbang.

"Wakaf tidak semestinya untuk mereka yang punya wang yang banyak dan tidak semestinya dilakukan oleh syarikat korporat besar. Kalau ada satu orang di sini yang sampaikan kepada 10 orang, kalau ada 100 orang di sini, insya-Allah akan ada 1,000 orang yang faham tentang wakaf," katanya pada Majlis Hi-Tea Bersama Sahabat Wakaf Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 2026 di Hotel Premiera di sini hari ini.

Marhamah berkata Wakaf IKIM perlu terus diperkasa bagi menyokong peranan institusi itu dalam bidang media Islam, penyelidikan ilmiah dan penyampaian ilmu kepada masyarakat.

Beliau berkata setiap sumbangan, meskipun kecil mampu memberikan manfaat besar apabila dihimpunkan dan dimanfaatkan untuk kepentingan agama serta ummah.

Sehubungan itu, beliau berkata sokongan berterusan terhadap Wakaf IKIM dapat memastikan institusi berkenaan meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada masyarakat secara istiqamah, selaras dengan peranannya yang telah menjangkau 25 tahun.

Pada majlis itu, Sahabat Wakaf IKIM merekodkan sumbangan wakaf tunai berjumlah RM403,727.41 bagi 2026.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran dua produk Wakaf IKIM, iaitu Hibah Lil Wakaf dan Wakaf Muaqqat, selain penyampaian penghargaan kepada pewakaf.

-- BERNAMA