KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Kerjasama antara agensi penguatkuasaan undang-undang ASEAN perlu terus diperkukuh dalam menangani jenayah rentas sempadan, khususnya bagi memastikan penjenayah buruan tidak terlepas daripada proses pengadilan.
Perkara itu ditekankan Perdana Menteri Vietnam Le Minh Hung ketika menerima kunjungan hormat ketua-ketua delegasi negara anggota ASEAN dan Sekretariat ASEAN, termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Abdul Halim Abdul Rahman yang mengetuai delegasi Malaysia, di Ibu Pejabat Kerajaan di Hanoi, semalam.
Menurut hantaran di Facebook KDN, Le turut menyifatkan kejayaan Persidangan Peringkat Tinggi Penguatkuasaan Undang-Undang ASEAN mengenai Kerjasama dalam Membanteras Penjenayah Buruan menyumbang kepada keamanan, keselamatan dan daya tahan komuniti ASEAN.
"Pada sebelah malam, delegasi KDN menghadiri Majlis Makan Malam Gala anjuran Kementerian Keselamatan Awam Vietnam (MPS) sebagai meraikan kejayaan dan penutup persidangan secara rasmi.
"Menteri Keselamatan Awam Vietnam Jeneral Lương Tam Quang hadir dan menyampaikan ucapan pada majlis tersebut," menurut hantaran itu.
Menurut KDN, program itu melengkapkan penyertaan Malaysia dalam persidangan serta mencerminkan komitmen kementerian untuk terus memperkukuh hubungan dan jaringan kerjasama dengan rakan ASEAN dalam menangani jenayah rentas sempadan.
-- BERNAMA