Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Khamis berikutan permintaan yang lemah dari China walaupun kebimbangan terhadap gangguan bekalan memberikan sokongan kepada harga, kata peniaga.
Beliau berkata permintaan yang lemah daripada pengeluar tayar China berikutan aktiviti menambah stok sebelum musim cuti telah selesai selain harga rendah minyak mentah berikutan konflik Asia Barat yang masih berlarutan, telah memberi tekanan kepada harga getah.
“Harga minyak susut sedikit dan diniagakan bercampur-campur pada Khamis berikutan peniaga menilai isyarat pemulihan aliran minyak mentah dari Asia Barat dan belum pasti sama ada peningkatan itu adalah berterusan,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dihadkan oleh gangguan bekalan getah asli di kawasan pengeluaran utama, kos bahan mentah yang lebih tinggi serta penyusutan ringgit berbanding dolar AS.
“Gangguan bekalan akibat cuaca telah menyokong harga, dengan hujan di Thailand menjejaskan usaha memperoleh bahan mentah dan mengekalkan harga lateks dan getah beku pada paras kukuh.
“Risiko El Niño turut menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan pada masa depan berikutan potensi kemarau di Asia Tenggara yang boleh menjejaskan pengeluaran getah,” katanya.
Pada 3 petang, Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) susut 16.5 sen kepada 1,038.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal meningkat enam sen kepada 746 sen sekilogram.
-- BERNAMA