Am 01/10/2026 05:25 PM

Rabies: Pemilik Anjing Di Changlun Ambil Langkah Berwaspada

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Rabies: Pemilik Anjing Di Changlun Ambil Langkah Berwaspada
Kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kedah memberikan suntikan vaksin kepada anjing milik penduduk secara dari rumah ke rumah pada program pemvaksinan anjing di sekitar Changlun.

JITRA, 1 Okt (Bernama) -- Kematian seorang lelaki berusia 31 tahun akibat jangkitan rabies pada 27 Sept, pertama di Kedah sejak 1998, mendorong pemilik anjing di Changlun mengambil langkah berwaspada termasuk mendapatkan suntikan vaksin rabies.

Tinjauan Bernama di Pekan Changlun mendapati kebanyakan pemilik anjing memastikan haiwan peliharaan mereka tidak berkeliaran selain membawanya mendapatkan suntikan vaksin secara percuma oleh pihak veterinar.

Setiausaha Tokong Phoo Kiu Se di sini Yap Sow Min, 70, berkata persatuan tokong itu menganjurkan kempen suntikan vaksin rabies setiap tahun sejak 2023 sebagai langkah pencegahan dan meningkatkan kesedaran pemilik haiwan itu untuk berbuat demikian.

“Mengenai kesedaran, di sini memang kita sedia maklum tentang ancaman jangkitan itu. Tetapi apabila berlaku kes yang tidak dijangka sehingga menyebabkan kematian, pemilik anjing mula lebih bimbang.

“Anjing peliharaan penduduk biasanya tidak dilepaskan, tetapi kebimbangan timbul jika terdapat anjing dari luar yang berkeliaran mencari makanan kerana ia boleh menimbulkan risiko,” katanya kepada Bernama hari ini.

Yap berkata pemilik anjing perlu mengambil peluang mendapatkan suntikan vaksin secara percuma kerana langkah itu bukan sahaja melindungi haiwan peliharaan mereka, malah sangat penting bagi kesihatan penduduk setempat.

“Kita semua perlu berwaspada kerana penyakit ini boleh mengancam kesihatan. Kempen dan program vaksinasi dijalankan pihak veterinar memang baik, tetapi lebih elok jika dapat dipertingkatkan melalui media sosial supaya maklumat sampai kepada lebih ramai penduduk,” katanya.

Seorang penduduk, M. Prabu, 44, berkata membawa tiga anjing peliharaannya mendapatkan suntikan vaksin dan mendaftarkan lesen anjing supaya dirinya mematuhi peraturan dan mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi haiwan tersebut dan juga keselamatan orang di sekeliling.

“Bila sudah mengambil vaksin, rasa lega dan tidak terlalu risau. Kita buat untuk keselamatan diri, keluarga dan orang lain supaya perkara yang tidak diingini tidak berlaku,” katanya.

Sementara itu, Lim Chai Po, 78, berkata segera membawa dua anjing peliharaannya mendapatkan suntikan vaksin tersebut selepas mengetahui mengenai kes kematian itu.

“Ini sebagai langkah berjaga-jaga. Takut juga apabila sudah ada kematian, jadi lebih baik kita ambil langkah awal,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Kedah mengesan satu kematian akibat kes rabies melibatkan lelaki berusia 31 tahun dari daerah Kubang Pasu pada 27 Sept yang mempunyai sejarah digigit anjing terbiar pada Ogos lepas.

-- BERNAMA