KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Klanggroup Development Sdn Bhd menyerahkan milikan kosong pada September 2026 untuk dua pembangunan hartanah di Selangor dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.74 bilion.
Pembangunan itu melibatkan dua projek Excellent Technology Park (ETP) yang telah habis dijual, iaitu ETP @ KIIP Kapar (Fasa 1) dan ETP @ KIIP Jenjarom.
Pengarah Eksekutifnya, Danny Ong berkata kedua-dua projek perindustrian ini telah habis dijual dan lebih separuh daripada unit telah mula beroperasi tidak lama selepas penyerahan berkenaan.
“Ini menunjukkan perniagaan membeli kilang-kilang ini untuk kegunaan mereka selaras dengan matlamat kami untuk membangunkan ruang yang praktikal, dilengkapi spesifikasi yang sesuai serta terletak di lokasi yang dapat memenuhi keperluan operasi pembeli,” katanya dalam satu kenyataan.
Ong berkata penyerahan milikan kosong merupakan satu pencapaian penting dalam melaksanakan sesebuah pembangunan, tetapi tanggungjawab kumpulan tidak terhenti selepas penyerahan.
"Seiring dengan perkembangan perniagaan dan rantaian bekalan, syarikat memerlukan ruang perindustrian yang mampu menyokong operasi mereka untuk jangka panjang.
"Kami akan terus membangunkan kilang di lokasi strategik yang memenuhi keperluan praktikal ini dan menyumbang kepada pertumbuhan kawasan perindustrian di Selangor,” tambah beliau.
ETP @ KIIP Kapar merupakan pembangunan pegangan bebas seluas 42.42 hektar (104.84 ekar) dengan GDV sebanyak RM1 bilion
Fasa 1 merangkumi 170 unit kilang berkembar dan kilang berkembar berkelompok. Terletak secara strategik di Kapar, Selangor, pembangunan ini mempunyai akses mudah melalui Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).
Sementara itu, ETP @ KIIP Jenjarom pula mempunyai GDV RM733 juta dan dibangunkan tanah pegangan bebas seluas 51.79 hektar (128 ekar) yang merangkumi 162 unit kilang berkembar dan kilang berkembar berkelompok, serta 28 lot tanah perindustrian.
Pembangunan ini mempunyai akses ke WCE dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).
Kedua-dua pembangunan itu menyediakan ciri-ciri yang direka untuk menyokong pelbagai operasi perindustrian, termasuk bekalan tenaga 400 ampere, kapasiti beban lantai tiga tan bagi setiap meter persegi, ketinggian atap 40 kaki dan laluan masuk konkrit.
Perniagaan yang beroperasi di kedua-dua pembangunan itu merangkumi sektor seperti logistik, e-dagang, produk automotif, perabot dan bahan binaan.
Penyerahan ini berlangsung ketika Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) Malaysia memberi penekanan kepada pengukuhan kluster perindustrian untuk pembangunan wilayah.
Setakat September 2026, sebanyak 82 unit di ETP @ KIIP Kapar (Fasa 1) telah direkodkan sebagai diduduki, manakala ETP @ KIIP Jenjarom mencatatkan penyerahan 113 unit kilang dan 28 lot tanah perindustrian.
-- BERNAMA