GENTING HIGHLANDS,1 Okt (Bernama) -- Pelumba TotalEnergies Nicolas Breuillard bangkit daripada masalah kesihatan yang membelenggunya sejak tiba di Malaysia untuk menjuarai ‘Queen Stage’ Peringkat 5 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 dari Tapah ke Genting Highlands, hari ini.
Pelumba Perancis berusia 26 tahun itu menamatkan laluan mencabar sejauh 125.7 kilometer (km) dengan catatan tiga jam 11 minit 26 saat, mengatasi pelumba Burgos-Burpellet-BH Josh Burnett yang ketinggalan lapan saat di tempat kedua.
Pendahulu keseluruhan Lennart Jasch daripada Tudor Pro Cycling Team pula menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, 21 saat di belakang Breuillard.
Breuillard berkata beliau pada asalnya hadir ke LTdL dengan misi mencabar kedudukan klasifikasi keseluruhan (GC), namun jatuh sakit sebaik tiba di Malaysia hingga menjejaskan perancangannya.
“Saya datang ke sini untuk memburu GC bersama pasukan dan mereka percaya kepada saya, tetapi saya jatuh sakit pada hari pertama di Malaysia. Selepas itu, keadaan menjadi sukar. Rakan sepasukan lebih percaya kepada saya berbanding saya sendiri,” katanya selepas perlumbaan.
Kemenangan itu cukup bermakna buat Breuillard apabila menghadiahkannya satu kejayaan penting dalam karier profesional sebelum menyertai pasukan berstatus WorldTeam, XDS Astana, musim depan.
Beliau turut mengakui peranan besar rakan senegara yang juga rakan sepasukan Valentin Retailleau, yang meningkatkan tempo sebaik perlumbaan bermula untuk membentuk kelompok pemisah sekali gus membuka jurang dengan peloton.
“Semalam ketika taklimat, kami sepakat untuk memberikan segala-galanya bagi membantu saya memenangi peringkat ini. Sejak kilometer sifar hari ini, kami melakukan kayuhan keras dan berjaya menyertai kelompok pemisah bersama Valentin.
“Valentin melakukan tugas yang sangat baik untuk membantu mewujudkan jurang. Ketika pendakian, ia sangat sukar bagi saya dan keadaan badan juga tidak begitu baik, tetapi saya memberikan segala-galanya,” katanya.
Selepas mencapai sasaran meraih kemenangan musim ini, Breuillard berkata fokusnya kini beralih untuk membantu rakan sepasukan Mathis Le Berre dalam perebutan kedudukan GC.
Sementara itu, Jasch terus mempertahankan Jersi Jingga selaku pendahulu keseluruhan selepas Peringkat 5 dengan catatan kumulatif 18:56:33, mendahului Abel Balderstone daripada Caja Rural-Seguros RGA dengan 26 saat dan Jan Castellon, 42 saat.
Jasch turut mengukuhkan kedudukan dalam klasifikasi Raja Bukit (Jersi Polka Dot) dengan 35 mata, diikuti Petr Rikunov daripada Wheeltop Rotor Chengdu Team (29 mata) dan Breuillard (25 mata).
Dalam klasifikasi mata, Matteo Malucelli daripada Astana kekal mendahului dengan 32 mata, diikuti Riley Pickrell daripada Modern Adventure Pro Cycling (24 mata) dan Ronan Auge daripada Unibet Rose Rockets (14 mata).
Pelumba Aisan Racing Team Yuhi Todome pula terus menyarung Jersi Putih selaku Pelumba Terbaik Asia dengan catatan keseluruhan 19:05:54s, mendahului dua pelumba St George Continental Cycling Team, Tsen Ren Bao (+3:44s) dan Tsen Ren Han (+5:25s).
Ren Han turut muncul pelumba Malaysia terbaik pada peringkat hari ini selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-29, ketinggalan 5:32s di belakang pemenang.
Esok, Peringkat 6 sejauh 121.3km dari Pandan Indah ke Rembau bakal menyaksikan pelumba berdepan tiga pendakian Kategori 3 masing-masing di Ampang, Bukit Hantu dan Bukit Mendum, selain tiga zon pecutan di Ulu Beranang, Rahang dan Rembau.
-- BERNAMA