KANGAR, 1 Okt (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) Perlis memperkasakan literasi percukaian dalam kalangan masyarakat negeri itu menerusi program pendidikan dan khidmat nasihat sepanjang Oktober ini.
Pengarah HASiL Perlis Mohd Affendi Ayub berkata pendekatan itu dilaksanakan menerusi Jelajah Literasi HASiL yang menjadi program utama Bulan HASiL 2026 bagi mendekati komuniti setempat, usahawan dan pemain industri.
“Melalui program ini, kita turun padang berjumpa dengan masyarakat, komuniti dan industri supaya literasi percukaian lebih difahami dan pematuhan secara sukarela dapat dipertingkatkan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Bulan HASiL 2026 peringkat negeri di sini, hari ini.
Mohd Affendi berkata Karnival Jelajah Literasi Bulan HASiL 2026 akan berlangsung pada 9 dan 10 Okt di sebuah pusat beli-belah di sini dengan pelbagai pengisian termasuk eksplorasi percukaian, khidmat nasihat percukaian serta eksperimen sosial selain program derma darah dan Jualan Rahmah MADANI.
Dalam pada itu, beliau berkata Bulan HASiL 2026 turut memberikan penekanan kepada Program Pengakuan Sukarela yang kini merangkumi tiga inisiatif, iaitu Program Pengakuan Sukarela Cukai Pendapatan, Program Khas Sukarela e-Invois dan Program Khas Pengakuan Sukarela Duti Setem.
“Kita menerima pertanyaan daripada pembayar cukai berhubung program pengakuan sukarela yang ditawarkan dan kita berharap lebih ramai mengambil peluang ini. Pembayar cukai di Perlis juga digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan pelarian cukai melalui saluran rasmi HASiL di MyTax menerusi e-Pelarian Cukai,” katanya.
Mohd Affendi berkata pelaksanaan e-Invois juga diyakini dapat membantu meningkatkan pematuhan cukai serta mengurangkan ketirisan hasil menerusi sistem yang membolehkan transaksi dikesan dengan lebih cepat dan berkesan.
-- BERNAMA