KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah mengumumkan penutupan sementara Saluran Paip Eksport Songkhla di Thailand berikutan isu yang dikenal pasti semasa pemeriksaan rutin.
Saluran paip itu diuruskan oleh Trans Thai-Malaysia (Thailand) Ltd (TTM), usaha sama antara PTT Public Co. Ltd Thailand dan Petronas.
Syarikat minyak dan gas negara itu melalui satu kenyataan berkata penutupan tersebut adalah langkah berjaga-jaga untuk melindungi integriti saluran paip selain memastikan operasi yang selamat.
“Petronas mengiktiraf kesannya terhadap bekalan gas kepada pelanggan di Malaysia dan Thailand, dan langkah proaktif sedang diambil untuk memastikan kesinambungan bagi pelanggan di Malaysia.
“Rangkaian bekalan bersepadu Petronas menyediakan fleksibiliti untuk mengekalkan bekalan, dan syarikat sedang bekerjasama rapat dengan rakan kongsi serta pelanggannya dalam mengekalkan kestabilan sistem,” katanya.
Petronas juga berkata saluran paip itu akan beroperasi semula hanya apabila ia disahkan selamat untuk berbuat demikian.
“Kami kekal fokus untuk menegakkan standard tertinggi keselamatan dan integriti operasi, sambil memastikan bekalan yang boleh dipercayai kepada pelanggan domestik dalam menyokong keselamatan tenaga Malaysia,” tambahnya.
-- BERNAMA