Am 01/10/2026 04:40 PM

PPM Rekod 7,627 Kes, Rampasan Bernilai RM525 Juta

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PPM Rekod 7,627 Kes, Rampasan Bernilai RM525 Juta
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika sidang media sempena Sambutan Peringatan Hari Ulang Tahun Ke-79 Pasukan Polis Marin (PPM) di Markas Operasi PPM Wilayah 1 Pulau Indah, Pelabuhan Klang hari ini.

PELABUHAN KLANG, 1 Okt (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) merekodkan 7,627 kejayaan kes membabitkan nilai rampasan RM525 juta dalam tempoh sembilan bulan tahun ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kejayaan itu hasil penguatkuasaan berterusan menerusi pelbagai operasi seperti Ops Taring Gelora, Ops Taring Landai dan operasi inter atau intra agensi.

“Sepanjang Januari hingga September, PPM menahan 2,707 orang atas pelbagai kesalahan. 

“Kesalahan tertinggi melibatkan Akta Perikanan 1985 dengan 3,214 kes, Akta Dadah Berbahaya 1952 (428), Akta Kawalan Bekalan 1961 (295), Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (213) serta Akta Kastam 1967 (189)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Peringatan Hari Ulang Tahun PPM ke-79 di Markas Operasi PPM Wilayah Satu, Pulau Indah di sini hari ini.

Mohd Yusri berkata kejayaan itu hasil keberkesanan kerjasama dua hala dan koordinasi rondaan dengan agensi penguatkuasaan negara serantau seperti Thailand, Indonesia, Singapura serta Filipina.

Mengenai isu penyeludupan pendatang tanpa izin, beliau berkata pihak tidak bertanggungjawab menggunakan pelbagai modus operandi untuk menyusup masuk ke negara ini.

“Mereka menyasarkan perairan antarabangsa untuk memindahkan pendatang tanpa izin ke bot lain sebelum membuat satu lokasi untuk menurunkan pendatang tanpa izin ke Malaysia dengan kawasan tumpuan melibatkan perairan di sekitar Perak, Selangor, Johor dan utara Semenanjung," katanya.

Beliau berkata PPM secara keseluruhan kini mempunyai 22 projek di bawah Rancangan Malaysia (RMK-11 hingga 13) bernilai RM1.064 bilion manakala bagi perancangan strategik masa depan melibatkan permohonan 19 projek cadangan bernilai RM2.28 bilion termasuk pembinaan beberapa markas operasi pasukan itu.

“PPM juga bakal menerima dua kapal induk dan lima Fast Patrol Craft masing-masing bernilai RM100 juta bagi memperkukuh keupayaan pasukan itu dalam mengawal keselamatan perairan negara," katanya.

Terdahulu pada majlis itu, Mohd Yusri menyampaikan Anugerah Tokoh Wira PPM 2026 kepada Sub Inspektor (B) Jakarta Makling, 72, bagi mengenang jasa dan pengorbanannya sepanjang berkhidmat dalam pasukan itu. 

Jakarta ketika ditemui menzahirkan rasa terharu atas penganugerahan yang julung kali diperkenalkan itu sejak beliau menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 28 Mei 1972.

“Pada Jun 1976, saya yang bertugas sebagai kru kapal ronda terlibat dalam pertempuran dengan kumpulan lanun bersenjata di perairan Lahad Datu, Sabah sehingga terkena tembakan pada bahu kiri.

“Peluru itu masih kekal di bahu sehingga kini dan menjadi bukti pengorbanan saya melaksanakan tugas demi mempertahankan keselamatan perairan negara,” kata datuk kepada 13 cucu yang berasal dari Semporna, Sabah itu.

-- BERNAMA