KUCHING, 1 Okt (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyeru sejarawan dan penyelidik supaya mempergiat usaha mengumpul, mendigitalkan serta menerbitkan bahan sejarah berkaitan Sarawak.
Beliau berkata sejarah itu perlu berasaskan fakta dan undang-undang, bukannya rekaan populis politik atau sesuatu yang dicipta pemimpin berdasarkan naluri politik.
“Sejarah ialah latihan untuk berfikir, mencari bukti, menilai kebenaran dan memahami manusia.
“Dalam dunia dipenuhi maklumat segera dan tafsiran yang mudah diputar belit, disiplin sejarah mengajar kita supaya berhati-hati sebelum membuat kesimpulan serta bersikap adil terhadap sumber,” katanya.
Wan Junaidi berkata demikian ketika berucap pada majlis Syarahan Negarawan yang bertajuk Menulis Semula Sejarah Sarawak dari Perspektif Kearifan Tempatan di sini hari ini.
Beliau berkata sejarah yang ditulis dengan jujur dapat membantu masyarakat memahami bahawa Sarawak dibina oleh pelbagai kaum, agama, bahasa dan wilayah.
Selain itu, beliau menggesa pihak universiti, muzium, arkib, perpustakaan, sekolah, persatuan sejarah, badan kebudayaan, komuniti tempatan dan keluarga yang menyimpan dokumen lama untuk bekerjasama dalam usaha memelihara sumber sejarah.
“Setiap surat, gambar, cerita dan manuskrip yang tersimpan mungkin mengandungi kunci kepada satu bab sejarah yang belum ditulis.
“Sejarah sebagai ilmu mesti melalui proses penyelidikan teliti dengan menggunakan pelbagai sumber, termasuk sumber tempatan. Selepas itu, barulah sejarah wajar ditulis dan diterbitkan oleh warga kita sendiri,” katanya.
-- BERNAMA