Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi
KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Penglibatan Malaysia dalam pengembangan bernilai berbilion dolar LNG Canada Fasa 2 bboleh membuka pintu kepada peluang pelaburan dan perniagaan lebih luas untuk Malaysia dalam sektor tenaga Kanada, kata Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia Jodi Robinson.
Pengembangan bernilai C$33 bilion (kira-kira RM94.7 bilion), dengan syarikat minyak nasional Malaysia Petronas memegang 25 peratus kepentingan dalam LNG Canada, akan menggandakan kapasiti pengeluaran tahunan kemudahan itu daripada 14 juta tan kepada 28 juta tan.
LNG Canada pada Isnin mengumumkan bahawa rakan usaha samanya Shell, Petroliam Nasional Bhd (Petronas), PetroChina, Mitsubishi Corporation dan KOGAS telah membuat keputusan pelaburan akhir (FID) mengenai pengembangan Fasa 2 di Kitimat, British Columbia.
Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia Jodi Robinson berkata projek itu juga akan membuka jalan kepada pelaburan Malaysia masa depan dalam sektor tenaga dan infrastruktur Kanada, serta meningkatkan peluang perolehan untuk syarikat dari kedua-dua negara.
“Projek itu juga akan memperdalam kerjasama merentasi kejuruteraan, pengeluaran gas huluan, pembinaan, perkhidmatan alam sekitar, teknologi digital dan perkhidmatan berkaitan lain di seluruh rantaian nilai LNG,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Robinson berkata sumber semula jadi Kanada dan kepakaran Malaysia dalam pemasaran, perkapalan dan operasi LNG adalah saling melengkapi.
Selain manfaat ekonominya, beliau berkata projek itu memperdalam perkongsian strategik Kanada-Malaysia, menyokong mengukuhkan keselamatan tenaga, pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran mampan.
"Kanada berbangga menjadi rakan kongsi yang diyakini dan boleh dipercayai,” katanya.
LNG Canada ialah syarikat usaha sama yang terdiri daripada Shell Canada dengan 40 peratus kepentingan, PETRONAS (25 peratus), PetroChina (15 peratus), Mitsubishi Corporation (15 peratus) dan KOGAS (lima peratus).
Peluasan Fasa 2 itu bakal merangkumi tangki simpanan LNG tambahan, tangki peluwap dan dermaga pemuatan, serta sistem utiliti dan proses yang diperluas.
Menurut Pejabat Perdana Menteri Kanada, pelaburan itu akan menjadikan LNG Canada kemudahan kedua terbesar seumpamanya di dunia dan mewujudkan lebih 4,000 pekerjaan langsung dalam fasa pembinaan sahaja dan sedang dibangunkan dengan kerjasama penuh kaum peribumi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu mengucapkan tahniah kepada Petronas dan rakan usaha samanya atas kejayaan memuktamadkan keputusan pelaburan, berkata pengembangan itu akan mengukuhkan bekalan tenaga ke pasaran antarabangsa.
“Peluasan ini bakal menjadikan LNG Canada sebagai antara kemudahan gas asli cecair terbesar di dunia, sambil mengukuhkan bekalan tenaga ke pasaran antarabangsa.
"Keupayaan syarikat minyak negara menjayakan projek tenaga berskala besar dengan rakan kongsi antarabangsa juga mencerminkan keyakinan terhadap kepakaran dan keupayaan Malaysia," katanya dalam hantaran di platform media sosial X.
-- BERNAMA