MELAKA, 1 Okt (Bernama) -- Kementerian Pertahanan membelanjakan sebanyak RM123,915,850 bagi program Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada lebih 33,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memerlukan, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.
Beliau berkata antara bantuan disalurkan menerusi program berkenaan membabitkan aspek kebajikan, kesihatan, perumahan, pendidikan dan pengupayaan ekonomi veteran.
"Tujuan kita adakan lawatan ini adalah untuk memastikan bahawa inisiatif kita itu sampai kepada mereka," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Peduli Veteran MADANI (PVM) Bukit Katil Siri 2 di Taman Bukit Melaka, Bukit Beruang, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) Sophian Isswandy Ismail serta Pengarah JHEV ATM Cawangan Melaka dan Negeri Sembilan Mejar Muhammad Zarifi Tumin.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan memaklumkan program PVM adalah antara pendekatan berterusan kementerian berkenaan melalui JHEV ATM sebagai satu daripada kaedah memastikan kebajikan golongan itu terus diberi perhatian serta disampaikan dengan lebih tepat dan berfokus.
Usaha berkenaan selaras dengan pendekatan Teras 7 Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 – Pemerkasaan Kesejahteraan Veteran ATM, yang memberikan penekanan kepada usaha memperkasakan kesejahteraan veteran ATM secara menyeluruh.
"Pelaksanaan PVM melalui pendekatan turun padang turut memperkukuh kerjasama rentas agensi dalam memastikan keperluan kebajikan veteran ATM dapat dikenal pasti serta ditangani secara lebih bersepadu dan bersasar," menurut kenyataan itu.
MINDEF memaklumkan sebanyak 14 kediaman dikunjungi melibatkan tujuh veteran ATM yang uzur dan sakit, enam balu serta seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU).
Pelbagai bentuk bantuan telah disampaikan seperti katil pesakit dan tilam, kerusi roda, walking frame serta bekalan lampin pakai buang selain bantuan lain seperti BSH, Kad Veteran, Bantuan Mengurus Jenazah (BMJ) dan pengurniaan Pingat Jasa Malaysia (PJM).
-- BERNAMA