PUTRAJAYA, 1 Okt (Bernama) -- Pentadbiran di peringkat Persekutuan dan negeri disaran memperluas penggunaan Aplikasi Respons Rakyat (RR) bagi menyediakan saluran maklum balas kerajaan lebih inklusif, pantas dan mudah diakses terus dari hujung jari rakyat.
Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata langkah itu selari dengan hasrat pendigitalan negara dengan penggunaan RR juga berfungsi sebagai platform sokongan yang ampuh kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
"Segala maklumat dan data yang diperoleh melalui sistem SISPAA mahupun aplikasi RR ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Gunakanlah maklum balas ini untuk kita meneliti trend permasalahan rakyat dan seterusnya merangka inisiatif penyelesaian baharu.
"Janganlah kita bersikap lepas tangan dengan menolak pengadu atas alasan isu tersebut di luar bidang kuasa kita dan sentiasalah tanamkan sifat empati dalam berkhidmat kerana inilah teras kelangsungan tadbir urus yang terbaik bagi sesebuah organisasi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Penarafan Naziran Pengurusan Aduan Awam Peringkat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Tahun 2025 di sini hari ini.
Shamsul Azri turut mengingatkan agensi kerajaan agar tidak mudah berasa selesa apabila sesuatu aduan itu berjaya diselesaikan secara sekali sahaja.
"Kita juga harus mengelak daripada terus-menerus mengamalkan pendekatan firefighting atau menyelesaikan masalah secara ad hoc. Jika sesuatu aduan itu kerap berulang di kawasan yang sama, itu satu isyarat jelas bahawa terdapat kelompangan dalam sistem penyampaian kita," katanya.
Menyentuh mengenai Inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), beliau berkata sebanyak 1,582 projek didaftarkan setakat ini dengan 496 daripadanya siap, melibatkan penjimatan kos pematuhan kepada kerajaan berjumlah RM3.21 bilion.
"Pada Februari lepas saya juga mengarahkan agar inisiatif tanpa kertas dilaksanakan dan bagi Ogos sahaja, penggunaan 123,325 rim kertas berjaya dijimatkan bersamaan RM1.48 juta, manakala dari Mei hingga Ogos, penjimatan terkumpul mencecah 482,940 rim bernilai RM5.79 juta," katanya.
Shamsul Azri berkata pendekatan berkenaan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang meletakkan ketangkasan bertindak dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan, di samping menekankan nilai ihsan, keyakinan dan daya cipta dalam pentadbiran.
Majlis anjuran Biro Pengaduan Awam (BPA) Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu menjadi platform untuk menghargai pencapaian serta berkongsi amalan terbaik Pentadbiran SUK Negeri dalam memastikan pengurusan aduan awam yang lebih cekap, responsif dan berkesan.
Penilaian penarafan naziran itu merangkumi tujuh kategori iaitu kecekapan respons awam, kecekapan penyampaian perkhidmatan, pemerkasaan kompetensi pengurusan aduan, kecekapan proses kerja, tadbir urus pengurusan aduan, komunikasi awam strategik dan keunggulan inovasi digital.
SUK Selangor, Perak, Melaka, Sarawak dan Kedah menerima tujuh penarafan; SUK Pahang, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Kelantan (enam penarafan); manakala SUK Terengganu, Sabah, Johor dan Perlis menerima lima penarafan.
-- BERNAMA