KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Thomson Hospital Kota Damansara (Thomson) memperkenalkan teknologi robotik mudah alih di dewan bedah, sekali gus membolehkan pembedahan penggantian keseluruhan lutut dilakukan dengan lebih tepat menggunakan kaedah invasif minimum
Menurut Thomson, perkhidmatan baharu itu memperkukuh rawatan ortopedik selain meningkatkan kualiti penjagaan pesakit melalui penggunaan teknologi.
“Pakar bedah ortopedik Thomson dilatih menggunakan teknik dengan bantuan robot bagi memastikan teknologi baharu ini digunakan dengan mahir dan pertimbangan klinikal yang sewajarnya serta mengutamakan penjagaan pesakit.
“Sistem robotik itu menggabungkan perancangan digital yang tepat dengan peralatan pembedahan berpandukan robot, sekali gus memberikan pakar bedah gambaran masa nyata berasaskan data mengenai struktur anatomi lutut setiap pesakit,” menurut kenyataan Thomson.
Menurut kenyataan itu, pakar bedah akan merancang prosedur berdasarkan struktur lutut pesakit sebelum melaksanakannya dengan bantuan robotik, termasuk ketika menyediakan tulang dan memasang implan, bagi memastikan kedudukan implan tepat serta sesuai dengan pergerakan semula jadi lutut
Teknologi mudah alih itu membolehkan insisi lebih kecil dibuat serta mengurangkan gangguan terhadap tisu sekeliling, sekali gus membantu menjadikan proses pemulihan lebih selesa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Thomson Hospital Kota Damansara Dr Savitha Dharan berkata permintaan terhadap pembedahan penggantian lutut menyaksikan peningkatan seiring dengan pertambahan usia penduduk.
“Teknologi ini membolehkan kami menawarkan kepakaran pembedahan dan penjagaan menyeluruh Thomson kepada lebih ramai pesakit, sekali gus membantu mereka pulih dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.
Thomson menawarkan perkhidmatan pembedahannya berasaskan teknik invasif minimum daripada prosedur artroskopi dan laparoskopi kepada pendekatan torakoskopi (VATS), endoskopi dan mikropembedahan dalam pelbagai bidang kepakaran.
Teknologi dengan bantuan robotik itu mengukuhkan usaha Thomson dalam menyediakan penjagaan berasaskan nilai dengan memanfaatkan teknologi canggih untuk memberikan hasil rawatan lebih baik, di samping meningkatkan kecekapan dan manfaat jangka panjang kepada pesakit serta pasukan klinikalnya.
Baru-baru ini, Thomson melancarkan pakej Robotic Knee Replacement pada harga RM32,999, yang merangkumi pembedahan, yuran pakar, kemudahan wad, pemeriksaan, ubat-ubatan dan perkhidmatan pemulihan.
Pakej itu sebahagian daripada usaha hospital berkenaan untuk menjadikan teknologi perubatan canggih lebih mudah diakses, di samping memperkukuh usaha inovasi, kecemerlangan klinikal dan penjagaan berorientasikan pesakit.
Untuk maklumat lanjut, layari www.thomsonhospitals.com atau hubungi Pegawai Perhubungan Penggantian Keseluruhan Lutut Thomson menerusi talian +6012 368 4960.
-- BERNAMA