Am 30/09/2026 09:05 PM

Bortoleto Harap Hujan Warnai GP Bahrain Di Sepang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bortoleto Harap Hujan Warnai GP Bahrain Di Sepang

PUTRAJAYA, 30 Sept (Bernama) --Pelumba Audi Revolut F1 Gabriel Bortoleto berharap hujan akan mewarnai saingan Formula Satu (F1) Gulf Air Grand Prix (GP) Bahrain di Malaysia 2026 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari Jumaat hingga Ahad ini.

Pelumba berusia 21 tahun itu yang bakal merasai sendiri cabaran SIC buat kali pertama hujung minggu ini berkata keadaan cuaca lebih sejuk ketika hujan mampu memberikan keselesaan kepada pelumba sepanjang perlumbaan.

“Harapnya kami mendapat keadaan cuaca yang sekurang-kurangnya konsisten sepanjang sesi. Kalau hujan, biarlah hujan dan kalau kering, biarlah kering, bukannya keadaan tidak menentu sehingga semuanya menjadi kelam-kabut di litar.

“Bagi perlumbaan, saya rasa hujan mungkin membuatkan keadaan sedikit lebih sejuk, jadi mungkin itu (cuaca pilihan saya),” katanya pada program Castrol Presents: In the Driver’s Seat with Gabriel Bortoleto di sini hari ini.

Hujan lebat secara tiba-tiba bukan sesuatu yang asing di SIC dan keadaan itu sering memaksa pasukan mengubah strategi perlumbaan.

Litar berkenaan juga pernah menyaksikan antara perlumbaan dalam hujan paling diingati dalam sejarah F1 pada 2009 apabila hujan monsun lebat memaksa GP Malaysia dihentikan selepas 31 pusingan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) baru-baru ini meramalkan hujan pada hari perlumbaan GP Bahrain di Malaysia 2026, Ahad ini.

Sementara itu, Bortoleto tidak sabar untuk menguji sendiri litar sepanjang 5.543 kilometer (km) itu selepas sebelum ini hanya berpeluang merasai karakter SIC menerusi simulator.

Pelumba Brazil yang kini menghuni tangga ke-14 kedudukan pelumba musim ini dengan 10 mata itu turut menghargai sambutan mesra diterimanya sejak tiba di Malaysia.

“Layanan di sini cukup mengagumkan. Anda semua sangat mengalu-alukan kedatangan mereka yang datang dari luar,” katanya.

Bortoleto baru-baru ini dilihat meluangkan masa di Langkawi, Kedah bersama beberapa pelumba F1 termasuk juara dunia Lando Norris dari McLaren, George Russell (Mercedes) dan Carlos Sainz (Williams).

Sepanjang berada di pulau peranginan itu, juara Formula 2 (F2) berkenaan sempat meneroka beberapa tarikan termasuk mengunjungi kawasan air terjun selain mencuba aktiviti go-kart.

Pada Julai lepas, Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah GP Bahrain dari 2 hingga 4 Okt susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.

Persetujuan itu membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan yang dijadualkan berlangsung lebih awal musim ini dibatalkan susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Malaysia pernah menganjurkan GP Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1.

-- BERNAMA