Am 30/09/2026 11:34 PM

Pendigitalan Sektor Awam Perlu Seiring Tadbir Urus, Kepercayaan Rakyat - Abdul Halim

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pendigitalan Sektor Awam Perlu Seiring Tadbir Urus, Kepercayaan Rakyat - Abdul Halim
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah ketika berucap pada pelancaran Sistem Media Digital Insights & Analytics (MeDINA) RTM di Angkasapuri hari ini. MeDINA merupakan platform analitik digital berpusat yang menghimpunkan data daripada RTM Klik, media sosial, perkhidmatan penstriman dan platform digital berkaitan dalam satu paparan bersepadu. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) --  Usaha mempercepat pendigitalan perkhidmatan awam perlu bergerak seiring dengan pengukuhan tadbir urus, keselamatan data, integriti dan akauntabiliti bagi memastikan kepercayaan rakyat terus terpelihara.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah berkata peningkatan kebergantungan terhadap data dan sistem digital turut menuntut tanggungjawab lebih besar bagi memastikan data diurus dengan betul, selamat dan berintegriti.

Beliau berkata transformasi digital tidak seharusnya dilihat dari sudut penggunaan teknologi semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi perubahan dalam cara bekerja, membuat keputusan dan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Lebih banyak kita bergantung kepada data dan sistem digital, lebih besar tanggungjawab kita untuk memastikan data tersebut diurus dengan betul, selamat dan berintegriti.

“Kita mahu membina sistem yang bukan sahaja efisien, tetapi juga dipercayai (trusted). Kerana dalam perkhidmatan awam, kecekapan tanpa kepercayaan tidak mencukupi. Trust is the currency of public service,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sistem Media Digital Insights & Analytics (MeDINA) Jabatan Penyiaran (RTM) di Kota Media Angkasapuri di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Ashwad Ismail.

Abdul Halim berkata pelancaran MeDINA merupakan antara langkah penting dalam perjalanan transformasi RTM ke arah menjadi organisasi penyiaran awam yang lebih cekap, tangkas, bersepadu dan berasaskan data.

MeDINA merupakan platform analitik digital berpusat yang menghimpunkan data daripada RTM Klik, media sosial, perkhidmatan penstriman serta platform digital berkaitan dalam satu paparan bersepadu.

Menurut Abdul Halim, platform itu membolehkan RTM memahami perubahan landskap media dan corak tingkah laku audiens merentas platform, selain membantu menganalisis kandungan siaran, meningkatkan kecekapan operasi serta memastikan kandungan dan perkhidmatan yang disediakan kekal relevan dengan keperluan rakyat.

“Dengan sistem yang baik, data bukan sekadar disimpan. Data mesti diterjemahkan menjadi maklumat, maklumat mesti diterjemahkan menjadi insight dan insight mesti diterjemahkan menjadi tindakan. Inilah yang akan menjadikan organisasi kita lebih data-driven,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata sistem yang baik sahaja tidak memadai untuk membawa perubahan sekiranya warga organisasi tidak berubah seiring dengannya kerana transformasi digital turut merangkumi aspek manusia, budaya dan cara berfikir.

-- BERNAMA