KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL) menganjurkan program World Alzheimer's Month 2026: A Brain Health and Mahjong Day bersempena dengan sambutan Bulan Alzheimer Sedunia bagi merangsang fungsi otak serta meningkatkan kesedaran kesihatan kognitif masyarakat.
PHKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu berlangsung Sabtu lepas, menjadikan PHKL sebagai hospital pertama yang menggabungkan permainan mahjung ke dalam program kesihatan otak klinikal berasaskan gabungan dialog pakar perubatan, penilaian kognitif digital dan permainan sosial interaktif.
“Program ini menghimpunkan pakar perubatan terkemuka, perintis teknologi kesihatan dan rakan kongsi komuniti bagi menangani masalah penurunan kognitif, pengesanan awal serta penjagaan demensia secara holistik,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pakar Perunding Geriatrik PHKL Dr Lee Yoong Wah berkata penjagaan demensia bukan sekadar masalah ingatan, sebaliknya memerlukan pengesanan awal serta sokongan holistik merangkumi penyesuaian persekitaran rumah bagi mengekalkan kebebasan pesakit.
“Saringan awal amat penting bagi membezakan antara penurunan tindak balas normal akibat proses penuaan dengan kemerosotan kognitif yang membimbangkan,” katanya menerusi kenyataan sama.
Pakar Perunding Perubatan Pemulihan PHKL Dr Lee Hwee Ming pula berkata pemulihan teras mampu membantu pesakit untuk mengatasi masalah pergerakan dan kesedaran ruang dalam mengekalkan kualiti hidup.
Selain itu, PHKL memaklumkan melalui kerjasama dengan Gray Matter Solutions dan Kelab Sosial Jom Mahjong, hospital itu mengubah arena perubatan konvensional kepada sesi Mahjong Social Play & Brain Health Challenge dengan melibatkan 25 meja permainan interaktif bagi merangsang fungsi otak.
“Mahjung semakin diiktiraf oleh profesional kesihatan kognitif sebagai senaman minda yang ideal, khususnya untuk warga emas kerana memerlukan strategi, pengecaman corak dan ingatan kerja,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Gray Matter Solutions Adnan Azam Mohammed semasa menyentuh peranan teknologi dalam intervensi awal berkata integrasi alatan digital moden berupaya mengubah persepsi masyarakat terhadap saringan kesihatan otak.
“Penggunaan alatan digital moden menjadikan ujian kognitif jauh lebih mudah diakses dan kurang menakutkan bagi orang ramai kerana lebih mesra pengguna dan interaktif,” katanya.
Orang ramai yang ingin memantau kesejahteraan kognitif boleh mendapatkan Pakej Saringan Memori PHKL dengan menghubungi Jabatan Pemasaran PHKL menerusi talian 011-5122 4125 atau melayari laman web https://www.pantai.com.my/kualalumpur/packages-promotions/memory-screening-package.
-- BERNAMA