KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) Kuala Lumpur mengetengahkan kepelbagaian daging wagyu Jepun, mempromosikannya sebagai pilihan dengan harga berpatutan dan mudah didapati, untuk menjangkau lebih banyak segmen pasaran Malaysia.
Pengarah Urusan JETRO Kuala Lumpur Koichi Takano berkata walaupun minat terhadap wagyu Jepun terus berkembang dalam pasaran Malaysia, industri berdepan cabaran seperti peningkatan kos, kebolehpercayaan bekalan dan mengimbangi kualiti dengan harga menu.
"Wagyu Jepun semakin dikenali ramai di Malaysia dan kami percaya ada peluang untuk menjadikannya lebih mudah didapati dengan harga yang berpatutan, dengan melihat melangkaui potongan daging yang biasa," katanya semasa seminar mengenai daging lembu wagyu pada Rabu.
Seminar memperkenalkan potongan sekunder wagyu Jepun telah diadakan di sini di bawah Inisiatif Platform Eksport Makanan Jepun dengan kerjasama Konsortium Promosi Eksport Kurohana Wagyu
Berlangsung di La Moon TTDI Kuala Lumpur, seminar berkelas pakar itu menghimpunkan cef, pengarah makanan dan minuman restoran serta profesional perkhidmatan makanan untuk meneroka bagaimana potongan seperti shoulder clod-misuji, togarashi dan katasan boleh digunakan selain stik wagyu konvensional.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sugimoto-Honten Co Ltd Koshiro Sugimoto berkata kilangnya menerima pensijilan halal pada Disember 2025 dan sejak itu mengeksport wagyu halal ke Malaysia.
“Kekuatan kami adalah kami mempunyai keseluruhan rangkaian produk daging lembu, daripada pembiakan dan penternakan lembu kepada pemprosesan dan penjualan,” katanya semasa seminar itu.
Sugimoto-Honten, pengeluar jenama wagyu Jepun premium Kurohana Wagyu, adalah sebahagian daripada Konsortium Promosi Eksport Kurohana Wagyu yang ditubuhkan untuk mengeksport daging lembu Kurohana Wagyu Jepun ke luar negara.
-- BERNAMA