Am 30/09/2026 10:08 PM

Beberapa Lokasi Di Shah Alam, Klang Dilanda Banjir Kilat

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Beberapa Lokasi Di Shah Alam, Klang Dilanda Banjir Kilat
Kredit MBSA

SHAH ALAM, 30 Sept (Bernama) -- Beberapa lokasi di sekitar bandar raya ini dan Klang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan petang tadi, dengan keadaan itu turut menjejaskan beberapa laluan utama dan memperlahankan pergerakan trafik.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata antara kawasan yang terjejas ialah Taman Rashna, Klang, yang dinaiki air sehingga paras pinggang.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7 malam dan sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Selatan kemudian dikejarkan ke lokasi.

"Jentera bomba tidak dapat memasuki lokasi itu kerana paras air tinggi dan anggota terpaksa berjalan sejauh dua kilometer.

"Tujuh mangsa iaitu seorang lelaki, dua wanita dan empat kanak-kanak berjaya ditemui sebelum dibawa ke tempat selamat," katanya dalam kenyataan malam ini.

-- LAGI

 

BOMBA-BANJIR 2 (AKHIR) SHAH ALAM

 

Ashrul Riezal berkata semua mangsa daripada sebuah keluarga itu dibawa ke pondok di kawasan lebih tinggi dan paras air telah mula surut.

Dalam pada itu, perkongsian menerusi media sosial memaparkan beberapa laluan utama di Shah Alam dan Klang turut dinaiki air susulan hujan lebat berterusan.

Antara lokasi yang dilaporkan terjejas dan menyebabkan pergerakan kenderaan perlahan ialah sekitar Seksyen 7, Desa Alam di Shah Alam dan Bandar Baru Klang.

Petang tadi Majlis Bandaraya Shah Alam turut mengeluarkan amaran bahaya banjir kilat dan menasihatkan orang ramai berwaspada susulan kenaikan air yang dikesan di sekitar lampu isyarat i-City, Seksyen 7, lampu isyarat Padang Jawa, Seksyen 16, di sini. 

Tinjauan Bernama di laluan utama sekitar Seksyen 7 malam ini mendapati paras air mula surut dan aliran trafik kembali lancar.

-- BERNAMA