Dunia 30/09/2026 10:49 PM

Malaysia Sasar Produktiviti, Kemampanan Lebih Tinggi Pacu Pertumbuhan Industri Sawit

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia Sasar Produktiviti, Kemampanan Lebih Tinggi Pacu Pertumbuhan Industri Sawit
Kredit: Kementerian Perladangan dan Komoditi

Oleh Shakir Husain

HYDERABAD, 30 Sept (Bernama) -- Malaysia memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti, penanaman semula yang lebih pantas dan piawaian kemampanan lebih kukuh untuk memacu fasa seterusnya industri sawit negara, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Berlatarbelakangkan pengeluaran minyak sawit mentah yang mencatat rekod 20.28 juta tan pada 2025, beliau berkata Malaysia akan terus memperkukuh piawaian industri dan meningkatkan kredibilitinya sebagai pembekal jangka panjang yang boleh dipercayai.

“Masa depan industri sawit Malaysia akan dibina berasaskan produktiviti lebih tinggi, penanaman semula yang lebih pantas dan pengurusan lebih baik terhadap tanah yang sedang diusahakan,” katanya dalam ucapan pada Persidangan Globoil India 2026 di Mumbai pada Rabu.

Noraini turut menekankan peranan minyak sawit dalam menjamin keselamatan makanan global, khususnya di India yang merupakan pengimport minyak makan terbesar dunia dan pembeli terbesar minyak sawit Malaysia selama 13 tahun berturut-turut.

“Lebih 80 peratus daripada pengeluaran kami dieksport. Ini mencerminkan betapa seriusnya Malaysia melaksanakan tanggungjawab sebagai pembekal jangka panjang yang boleh dipercayai kepada pasaran utama seperti India,” katanya.

Malaysia berhasrat memperluas kerjasama industri sawit dengan India menerusi peningkatan kerjasama dalam bidang pembuatan, teknologi dan produk bernilai lebih tinggi.

Menjelang persidangan di Mumbai itu, Noraini bertemu pegawai kanan beberapa syarikat terkemuka India di Bengaluru pada Isnin bagi meneroka potensi kerjasama.

Pertemuan beliau dengan Godrej Industries Group dan Godrej Agrovet Ltd merangkumi perdagangan minyak sawit, pembangunan bahan tanaman, perkongsian kepakaran, oleokimia, surfaktan dan bahan kimia khusus.

Perbincangan dengan Wipro Consumer Care and Lighting pula memberi tumpuan kepada usaha memperluas penggunaan oleokimia, formulasi khusus dan produk minyak sawit bernilai lebih tinggi, manakala perbincangan dengan ITC Limited meneroka peluang bagi lebih banyak syarikat Malaysia menyertai rantaian perolehan perniagaan makanannya.

Noraini turut bertemu syarikat analitik SatSure bagi meneroka potensi projek perintis di Malaysia yang melibatkan pemantauan satelit, penderiaan jauh dan kecerdasan buatan (AI), khususnya dalam industri sawit.

-- BERNAMA