Am 30/09/2026 10:50 PM

MCMC Tuntut Penjelasan Meta Berhubung Isu Akaun WhatsApp

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MCMC Tuntut Penjelasan Meta Berhubung Isu Akaun WhatsApp

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menuntut penjelasan menyeluruh daripada Meta berhubung isu akaun aplikasi WhatsApp yang digantung tidak lagi dapat diakses atau diakses tanpa kebenaran.

MCMC menerusi kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 92 aduan berkaitan isu berkenaan telah diterima pihaknya setakat ini.

Menurut suruhanjaya itu, permintaan rasmi telah dikemukakan kepada Meta pada 25 Sept diikuti perbincangan bersama dengan syarikat teknologi berkenaan pada 28 Sept lepas.

"Meta telah memohon tempoh hingga 2 Okt ini untuk memberikan maklum balas berhubung perkara berkenaan.

“MCMC menggesa Meta memberikan penjelasan menyeluruh serta penyelesaian segera terhadap akaun pengguna yang terjejas dan akan menentukan tindakan susulan berdasarkan maklum balas tersebut,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata beliau telah meminta MCMC mengeluarkan kenyataan bagi memperjelas maklum balas Meta mengenai isu penggodaman dan penyahaktifan akaun WhatsApp.

Fahmi berkata beliau masih belum menerima maklumat terkini hasil perbincangan antara MCMC dan Meta berhubung isu berkenaan.

Sebelum ini, MCMC memaklumkan pihaknya sedang meneliti aduan yang diterima dan telah memajukan kes berkaitan kepada Meta untuk penjelasan serta tindakan selanjutnya.

Suruhanjaya itu turut menjelaskan bahawa pengambilalihan atau penggodaman akaun dan penyekatan akaun adalah dua perkara berbeza.

Menurut MCMC, akaun yang digodam pihak tidak bertanggungjawab berisiko disalahgunakan untuk aktiviti penipuan, spam atau pelanggaran terma perkhidmatan WhatsApp, yang akhirnya boleh menyebabkan akaun berkenaan disekat oleh platform itu.

-- BERNAMA