KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Keputusan kerajaan mengecualikan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada pelaksanaan kenaikan kadar gaji minimum baharu buat sementara waktu disifatkan sebagai langkah penting bagi melindungi kelangsungan perniagaan dan menjamin peluang pekerjaan di seluruh negara.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) Datuk William Ng berkata keputusan itu dapat membantu melindungi kelangsungan 1.3 juta PMKS yang kini berdepan peningkatan kos operasi, margin keuntungan semakin mengecil serta ketidaktentuan ekonomi global.
“Keputusan ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap realiti yang dihadapi PKS tempatan, pada masa sama memastikan kebajikan pekerja terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata Jemaah Menteri bersetuju supaya PMKS dikecualikan daripada kenaikan kadar gaji minimum baharu buat sementara waktu dengan mengambil kira kemampuan sektor itu mendepani tekanan kos operasi dan cabaran ekonomi semasa.
Ng berkata keputusan berkenaan memberi kelegaan segera kepada perniagaan kecil, selain menyediakan ruang untuk mereka menyesuaikan operasi dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.
Beliau berkata pertumbuhan gaji yang mampan perlu berasaskan penciptaan nilai dan peningkatan produktiviti, selaras dengan tumpuan strategik kerajaan menerusi pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP).
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan bekerjasama dengan persatuan industri untuk menyediakan modul latihan khusus bagi PKS dalam usaha meningkatkan produktiviti, di samping menangani kos struktur termasuk pematuhan, beban kawal selia, logistik dan utiliti.
Sementara itu, Penasihat Kanan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) bagi Kerajaan, Media dan Penglibatan Antarabangsa Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata sebarang semakan kadar gaji minimum perlu mengambil kira secara seimbang kebajikan pekerja, produktiviti buruh dan kemampuan majikan.
“MEF menyokong peningkatan gaji, namun ia perlu dilaksanakan secara mampan. Kita tidak boleh menaikkan gaji tanpa mengambil kira produktiviti, daya saing dan kemampuan perniagaan menyerap kos tambahan.
“Matlamatnya mestilah untuk memastikan pekerja menerima gaji lebih baik tanpa menjejaskan perniagaan yang menyediakan peluang pekerjaan,” katanya dalam kenyataan berasingan.
Syed Hussain berkata kos sebenar yang perlu ditanggung majikan bukan sahaja melibatkan kenaikan gaji minimum, malah merangkumi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan levi Pembangunan Sumber Manusia (PSM), jika berkenaan.
Selain itu, majikan turut menanggung kos berkaitan kerja lebih masa, cuti, latihan serta perbelanjaan lain berkaitan penggajian.
Merujuk data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan produktiviti buruh bagi setiap jam bekerja meningkat 5.5 peratus kepada RM46.50 pada suku kedua 2026, beliau berkata MEF berpandangan negara perlu beralih kepada sistem gaji berasaskan produktiviti.
MEF turut mencadangkan supaya kitaran semakan gaji setiap dua tahun dilaksanakan secara berperingkat dengan hala tuju yang jelas bagi memberi kepastian kepada majikan dan pekerja.
-- BERNAMA