Am 30/09/2026 10:20 PM

Laporan RCI TH: Zulkifli Tumpu Tindakan Susulan Selepas Beri Keterangan Kepada PAC

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Laporan RCI TH: Zulkifli Tumpu Tindakan Susulan Selepas Beri Keterangan Kepada PAC
Kredit: FB YB Senator Dr. Zulkifli Hasan

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan memberi tumpuan kepada tindakan susulan yang tegas dan menyeluruh terhadap Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) selepas memberikan keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memelihara amanah jutaan pendeposit serta mempertahankan kesucian harta umat Islam.

“Saya tegaskan bahawa fokus utama buat masa ini adalah memastikan tindakan susulan terhadap Laporan RCI TH diselesaikan secara tegas dan menyeluruh,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Zulkifli berkata beliau meneliti semua dokumen berkaitan seperti Akta Tabung Haji dan Laporan RCI sebelum menghadiri sesi berkenaan.

Beliau berkata dalam sesi yang berlangsung lebih dua jam itu, pelbagai soalan diajukan oleh anggota PAC dan menyifatkan pengalaman pertama kali memberikan keterangan di hadapan jawatankuasa itu sebagai sesi viva voce Ph.D, iaitu pemeriksaan lisan yang memerlukan seseorang penyelidik mempertahankan disertasinya di hadapan panel penilai.

“Syukur, persediaan ini membolehkan saya menjawab soalan yang diajukan dengan tenang dan yakin, atas izin Allah,” katanya.

-- BERNAMA