KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Beberapa jalan di Hulu Selangor akan ditutup secara berperingkat bermula 11 pagi esok untuk memberi laluan kepada perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL) Peringkat 5.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintenden M. Manimaran berkata penutupan jalan itu membabitkan laluan bermula dari Kilometer (KM) 79, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh sempadan Daerah Muallim, Ulu Bernam-Kalumpang-Kerling-Kuala Kubu Bharu-Pekan Batang Kali hingga Bulatan Gohtong Jaya.
"Sehubungan dengan itu, pengguna dicadangkan untuk menggunakan laluan alternatif iaitu Serendah-Sungai Choh-Bukit Beruntung-Tol Bukit Beruntung-Lebuhraya Utara-Selatan-Tol Tanjung Malim, Batang Kali-Hulu Yam Bharu-Pekan Hulu Yam-Hulu Yam Lama-Serendah dan Batang Kali-Hulu Yam Bharu-Sungai Tua-Jalan Lingkaran Tengah 2-Tol Gombak-Genting Highlands," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Manimaran berkata penutupan jalan itu dijangka tamat pada 1 tengah hari, bergantung pada pergerakan dan laluan peserta perlumbaan.
Beliau berkata penutupan jalan itu adalah bagi memastikan keselamatan peserta perlumbaan, pengguna jalan raya, kelancaran program dan mengurangkan risiko kesesakan lalu lintas sepanjang perlumbaan berlangsung.
"Orang ramai khususnya pengguna jalan raya dinasihatkan agar mematuhi arahan dan kawalan trafik oleh pegawai serta anggota yang bertugas, merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif serta memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang penutupan jalan," katanya.
-- BERNAMA