KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Inisiatif pemodenan vesel, penaiktarafan peralatan menangkap ikan dan sistem mekanisasi wajar diberi pertimbangan utama dalam pembentangan Belanjawan 2027 bagi memacu kecekapan operasi serta produktiviti sektor perikanan negara.
Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Azrin Shah Ismail berkata penekanan juga perlu diberikan kepada aspek navigasi dan keselamatan bagi meningkatkan kecekapan operasi nelayan di laut sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pemberian subsidi semata-mata.
“Subsidi berperanan melindungi kelangsungan hidup nelayan namun produktiviti, penerapan teknologi dan penguasaan rantaian nilai akan menentukan kemampanan pendapatan mereka pada masa hadapan,” katanya ketika menjadi tetamu program Malaysia Petang Ini bertajuk “Belanjawan 2027: Apa Harapan Nelayan” terbitan Bernama TV di sini hari ini.
Beliau berkata pendekatan berasaskan pemodenan itu penting bagi memastikan bantuan kerajaan bukan sekadar meringankan kos harian sebaliknya membina keupayaan komuniti nelayan menjana pulangan secara berterusan.
Azrin berkata pengaplikasian teknologi seperti navigasi satelit, sonar dan pengesan ikan dapat membantu nelayan mengenal pasti lokasi serta spesies tangkapan dengan lebih tepat sekali gus memaksimumkan hasil di samping menjimatkan masa dan penggunaan bahan api.
Pada masa sama, beliau berkata penggunaan teknologi moden seperti Internet Pelbagai Benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) wajar dimanfaatkan untuk menganalisis data operasi bagi membantu nelayan menentukan masa serta teknik penangkapan yang paling sesuai.
Azrin berkata agenda pemodenan di laut itu perlu disokong kemudahan pascapendaratan bersepadu seperti bilik penyimpanan sejuk beku, sistem ais dan teknologi penyejukan air laut bagi memelihara kualiti hasil tangkapan agar nelayan berupaya memperoleh harga pasaran lebih tinggi.
Menyentuh mengenai bantuan sedia ada, beliau berkata kerajaan sebelum ini memperuntukkan hampir RM178 juta menerusi Belanjawan 2026 dalam bentuk subsidi, bantuan dan insentif bersasar merangkumi RM145 juta bagi elaun sara hidup serta RM15 juta untuk insentif hasil tangkapan.
Azrin berkata subsidi petrol dan diesel pada kadar RM1.65 seliter juga kekal kritikal buat nelayan aktif memandangkan bahan api menyumbang hingga 60 peratus daripada keseluruhan kos operasi mereka.
“Peningkatan produktiviti bagi setiap pelayaran dapat dijana menerusi pengurangan kebergantungan tenaga kerja, kecekapan penggunaan bahan api dan sokongan navigasi moden,” katanya.
Beliau juga berharap kerajaan memberi perhatian terhadap kos insurans vesel dan peralatan memandangkan risiko operasi di laut yang tinggi menyukarkan pemilik memperoleh perlindungan aset pada kadar berpatutan.
Sehubungan dengan itu, Azrin mencadangkan mekanisme pembiayaan melalui geran padanan atau pinjaman mudah diperluas bagi membantu nelayan menampung kos kerja menaik taraf vesel dan membeli kelengkapan moden.
Beliau berkata langkah berkenaan adalah selaras dengan pendekatan awal kerajaan menerusi Belanjawan 2026 yang menyediakan kira-kira RM20 juta bagi menaik taraf vesel termasuk usaha mengurangkan kebergantungan kepada tekong dan kru warga asing.
“NEKMAT berharap pendekatan seumpama ini diperluas dalam Belanjawan 2027... kerajaan bukan sahaja membantu nelayan menampung kos hari ini malah membantu mereka menghasilkan lebih banyak pendapatan pada masa hadapan,” katanya.
Selain itu, Azrin berkata tadbir urus penyaluran subsidi wajar diperketat secara berperingkat menerusi penggunaan teknologi seperti Sistem Pemantauan Vesel (VMS) dan Sistem Pengenalan Automatik (AIS) bagi memastikan bantuan disasarkan kepada nelayan yang benar-benar aktif.
“Prinsip NEKMAT mudah sahaja... kita mahu subsidi diteruskan namun mekanisme tadbir urusnya mesti diperkukuh dan ditambah baik,” katanya.
Belanjawan 2027 akan dibentang di Parlimen pada 9 Okt depan.
-- BERNAMA