JOHOR BAHRU, 30 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan yang mempunyai 27 rekod jenayah lampau ditahan selepas disyaki melarikan sebuah lori dan cuba meloloskan diri daripada polis di sekitar Pasir Gudang hari ini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata kejadian berlaku kira-kira 7.20 pagi selepas lori berkenaan dilaporkan hilang dan dipercayai dicuri di kawasan Plentong.
Beliau berkata orang awam kemudian menghubungi polis selepas lori itu dikesan di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang.
“Bertindak atas maklumat, polis berjaya mengesan lori terbabit namun suspek yang memandunya enggan memberhentikan kenderaan dan terus cuba melarikan diri.
“Suspek berusia 30-an itu turut memandu secara berbahaya dan melanggar sebuah kereta peronda polis sebelum berjaya ditahan di kawasan Pasir Gudang pada 10.20 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Sohaimi berkata pemeriksaan lanjut terhadap lelaki tersebut turut menemukan satu peket lut sinar mengandungi bahan disyaki dadah.
Beliau berkata semakan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod lampau melibatkan kesalahan jenayah dan dadah, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Johor Bahru esok.
Terdahulu tular di media sosial rakaman video memaparkan beberapa kenderaan polis mengejar lori berwarna hijau berkenaan di sekitar Pasir Gudang.
-- BERNAMA